Terkini
Kes Zahid Hamidi : Jangan bodohkan orang ramai atas alasan ‘mahkamah buat keputusan’
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengingatkan pihak tertentu supaya tidak memperbodoh orang ramai dengan mengulang tanpa henti bahawa pelepasan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah adalah keputusan mahkamah.
- Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengingatkan pihak tertentu supaya tidak memperbodoh orang ramai dengan mengulang tanpa henti bahawa pelepasan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah adalah keputusan mahkamah.
- Latheefa berkata, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain membenarkan permohonan pendakwa raya memberhentikan kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.
- Katanya, Peguam Negara mempunyai kuasa di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bertindak sedemikian dan mahkamah tidak wajar dipersalah dalam keputusan melepaskan Ahmad Zahid daripada kesemua 47 pertuduhan.
- “Ini adalah ketidakjujuran dan cemuhan terhadap hakim yang telah bekerja keras selama ini,” katanya dalam hantaran ringkas di aplikasi X atau sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
PETALING JAYA: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengingatkan pihak tertentu supaya tidak memperbodoh orang ramai dengan mengulang tanpa henti bahawa pelepasan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah adalah keputusan mahkamah.
Latheefa berkata, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain membenarkan permohonan pendakwa raya memberhentikan kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.
Ini kerana, katanya, Peguam Negara mempunyai kuasa di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk bertindak sedemikian dan mahkamah tidak wajar dipersalah dalam keputusan melepaskan Ahmad Zahid daripada kesemua 47 pertuduhan.
“Berhenti daripada memperbodohkan orang ramai dengan mengulang tanpa henti yang pelepasan tanpa pembebasan Ahmad Zahid adalah keputusan mahkamah.
“Perkara 145(3) jelas menyatakan, bahawa mahkamah tiada pilihan dalam perkara ini. Jadi, jangan menyalahkan mahkamah.
“Ini adalah ketidakjujuran dan cemuhan terhadap hakim yang telah bekerja keras selama ini,” katanya dalam hantaran ringkas di aplikasi X atau sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Perkara 145(3) Perlembagaan menyatakan, Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
Selepas 77 hari dibicara, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.
Hakim Collin berkata, pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.
Pihak pendakwaan memohon menghentikan prosiding yang sedang berada di peringkat bela diri dengan 15 saksi pembelaan termasuk Ahmad Zahid sudah memberi keterangan.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pasukan pembelaan supaya Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.
Sumber: Utusan Malaysia