Terkini
‘Kalau saya pegang 100 portfolio, gaji saya banyak itu juga’ – Sanusi
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan gajinya bertambah apabila memegang lapan portfolio dalam barisan pentadbiran negeri yang baharu diumumkan kelmarin.
- Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan gajinya bertambah apabila memegang lapan portfolio dalam barisan pentadbiran negeri yang baharu diumumkan kelmarin.
- Ahli DUN Jeneri itu menjelaskan, setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) terpaksa memegang banyak portfolio kerana tanggungjawab itu perlu diselaraskan mengikut bidang tugas peringkat Persekutuan.
- Katanya, terdapat 28 menteri Kabinet memegang dua atau tiga bidang tugas berlainan, menyebabkan EXCO Kedah perlu mengikut bidang tugas berkenaan bagi membolehkan mereka berfungsi seiring di peringkat Persekutuan.
- “Ada orang faham pegang banyak portfolio banyak gaji, itu tak betul, gaji banyak itu juga. Kalau saya pegang 100 portfolio, gaji saya banyak itu juga. Jadi bila kita dapat banyak tanggungjawab, itu beban kepada orang itu, bukan suatu kenikmatan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan gajinya bertambah apabila memegang lapan portfolio dalam barisan pentadbiran negeri yang baharu diumumkan kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menjelaskan, setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) terpaksa memegang banyak portfolio kerana tanggungjawab itu perlu diselaraskan mengikut bidang tugas peringkat Persekutuan.
Katanya, terdapat 28 menteri Kabinet yang memegang dua atau tiga bidang tugas berlainan, menyebabkan EXCO Kedah juga perlu mengikut bidang tugas berkenaan bagi membolehkan mereka berfungsi seiring di peringkat Persekutuan.
“Di peringkat Persekutuan, menteri Kabinet ada 28 orang, satu menteri pegang dua atau tiga portfolio, kalau 28 darab tiga, maka lebih 50 portfolio. Daripada 50 lebih itu, turun ke negeri untuk diselaraskan. Kita ada 11 EXCO sahaja, jadi setiap EXCO kena pegang banyak termasuk Menteri Besar.
“Ada orang faham pegang banyak portfolio banyak gaji, itu tak betul, gaji banyak itu juga. Kalau saya pegang 100 portfolio, gaji saya banyak itu juga. Jadi bila kita dapat banyak tanggungjawab, itu beban kepada orang itu, bukan suatu kenikmatan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sebelum ini, timbul isu dan kritikan apabila Muhammad Sanusi dikatakan memegang terlalu banyak portfolio iaitu lapan berbanding tujuh ketika beliau mula menjadi Menteri Besar pada 2020.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Sanusi memaklumkan pentadbirannya turut memperkenalkan portfolio baharu bagi menyesuaikan dengan keadaan dan keperluan semasa.
Katanya, apabila ada EXCO terpaksa memegang banyak portfolio, ia akan menjadi beban kepada individu terbabit, namun tetap perlu dilaksanakan kerana mereka memegang amanah diberikan rakyat.
“Anggapan orang bila pegang banyak jawatan, ia suatu nikmat besar, tapi bukan, ia sebenarnya beban. Jadi baguslah orang pegang banyak beban, dia kena kerja teruk. Jadi kena ucap takziah pada dia, bukan tahniah. Pemahaman orang tak betul, bukan saya nak kumpul jawatan untuk saya.
“Kerana struktur di Persekutuan turun ke negeri, kita kecil, mereka ada 28 menteri. Jadi seorang EXCO kena pegang banyak, struktur negeri ada yang tak ada di Persekutuan. Kita susun ikut keperluan, dulu tak ada Hubungan Luar dan Pelan Pembangunan Kedah 2035, kita masukkan kerana mahu beri fokus dan tumpuan,” katanya.
Selain jawatan Menteri Besar, Muhammad Sanusi turut memegang portfolio Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pembangunan Kedah 2035, Kerjasama Luar.
Sumber: Berita Harian