Terkini
(VIDEO) Hari Kebangsaan: “Buat apa menimbulkan perbalahan mengenai isu tersebut” — MB Kedah
Selepas Terengganu dan Kelantan, hari ini Kedah mengumumkan bahawa negeri itu akan menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan yang sama seperti diperkenalkan kerajaan Persekutuan.
- Selepas Terengganu dan Kelantan, hari ini Kedah mengumumkan negeri itu akan menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan sama seperti Kerajaan Persekutuan.
- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penggunaan tema mahupun logo sama antara dua negeri berbeza fahaman politik bukan suatu isu, kerana ia tidak mengubah haluan politik masing-masing.
- Muhammad Sanusi, Pengerusi PN Kedah berkata, biar apa sahaja tema digunakan, ia bukan mencerminkan pendirian politik, sebaliknya yang penting adalah semangat patriotisme.
- “Tema tahun lepas pun kita lupa dah. Lepas ini kita lupa lah tema tahun ini. Bukan kita nak ikut atau sokong Pakatan Harapan (PH) bukan. Tetapi kerana ia dijadikan tema kebangsaan (jadi) ikut sahaja lah,” ujarnya.
ALOR SETAR — Selepas Terengganu dan Kelantan, hari ini Kedah mengumumkan negeri itu akan menggunakan tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan yang sama seperti Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penggunaan tema mahupun logo yang sama antara dua negeri berbeza fahaman politik bukan suatu isu, kerana ia tidak mengubah haluan politik masing-masing.
“Buat apa menimbulkan perbalahan mengenai isu tersebut. Kita setuju guna tema dan logo sama, bukan bermakna kita bersetuju dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama selepas pembentukan kerajaan negeri, di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, biar apa sahaja tema yang digunakan, ia bukan mencerminkan pendirian politik, sebaliknya yang penting adalah semangat patriotisme.
“Sambutan itu di peringkat kebangsaan, jadi tiada masalah untuk negeri ikut. Letak tema apa pun namun hati kita macam itu juga.
“Tema tahun lepas pun kita lupa dah. Lepas ini kita lupa lah tema tahun ini. Bukan kita nak ikut atau sokong Pakatan Harapan (PH) bukan. Tetapi kerana ia dijadikan tema kebangsaan (jadi) ikut sahaja lah,” ujarnya.
Kelantan pagi tadi turut memutuskan untuk menggunakan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan kerajaan Pusat bagi sambutan peringkat negeri pada tahun ini iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.
Negeri itu bagaimanapun menambah slogan Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri dibelakang tema tersebut.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, selain mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.- The Merdeka Times
View this post on Instagram