Terkini
Bentang segera Akta Pendanaan Politik di Parlimen
Kerajaan perlu segera membentangkan Akta Pendanaan Politik pada sidang Parlimen bulan depan bagi mengawal pengaruh wang dalam politik.
- Kerajaan perlu segera membentangkan Akta Pendanaan Politik pada sidang Parlimen bulan depan bagi mengawal pengaruh wang dalam politik.
- Walaupun kerajaan mahu merujuk akta itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan proses perundangan dilakukan secara teliti namun usaha ke arah itu sudah bermula sekitar 10 tahun lalu.
- Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, usaha penggubalan undang-undang politik wang tidak serumit usaha pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
- Menurut beliau, ini kerana Akta Pendanaan Politik Wang hanya membabitkan kawalan lebih ketat dan telus dalam penyalahgunaan kuasa dan mengawal pengaruh kewangan dalam politik.
PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera membentangkan Akta Pendanaan Politik pada sidang Parlimen bulan depan bagi mengawal pengaruh wang dalam politik.
Walaupun kerajaan mahu merujuk akta itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan proses perundangan dilakukan secara teliti namun usaha ke arah itu sudah bermula sekitar 10 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, usaha penggubalan undang-undang politik wang tidak serumit usaha pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menurut beliau, ini kerana Akta Pendanaan Politik Wang hanya membabitkan kawalan lebih ketat dan telus dalam penyalahgunaan kuasa dan mengawal pengaruh kewangan dalam politik.
Katanya, meskipun proses penggubalan undang-undang perlu dilakukan secara teliti, namun perkara itu tidak boleh dijadikan alasan melengahkan undang-undang tersebut kerana ia amat berguna untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan terlibat rasuah.
“Jadi saya rasa akta tersebut perlu disegerakan dengan pembentangan dibuat pada sidang Parlimen bulan depan. Kalau kita bentang Oktober, semua wakil rakyat akan fokus dengan perbahasan Belanjawan 2024.
“Masyarakat sudah tunggu lama undang-undang ini, saya berpandangan ia tidak boleh dilengahkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa kerajaan mempercepat usaha menggubal Akta Pendanaan Politik bagi mengawal pengaruh wang dalam politik.
Sidang Dewan Rakyat akan bermula 11 September sehingga 30 November ini dengan dimulakan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan.
Hassan berkata, perbincangan merangka undang-undang itu telah bermula ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mendapat kerjasama positif ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada ketika itu.
Beliau berkata, semua pihak senada dengan langkah tersebut sekali gus memudahkan penggubalan sekali gus tidak mustahil mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.
Katanya, Akta Pendanaan Politik amat penting apabila undang-undang yang lebih ketat dan telus itu akan membantu mencegah penyalahgunaan kuasa, mengawal pengaruh kewangan dalam politik dan memastikan proses politik yang lebih adil dan demokratik.
“Penting untuk mempercepat proses pembaharuan dalam bidang ini yang telah mula dibincang sejak dua tahun lalu dan tidak boleh menjadikan perbincangan sebagai alasan untuk menangguhkan penggubalan Akta Pendanaan Politik,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia