Connect with us

Antarabangsa

Ribuan berarak di Bosnia bantah pembunuhan wanita disiar di Instagram

Ribuan penduduk berarak di Sarajevo dan bandar lain di Bosnia semalam, beberapa hari selepas seorang wanita dibunuh pasangannya yang menyiarkan pembunuhan itu secara langsung di media sosial.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Ribuan berarak di Bosnia bantah pembunuhan wanita disiar di Instagram
Foto: Perhimpunan penunjuk perasaan yang berarak di Sarajevo, Bosnia.
  • Ribuan penduduk berarak di Sarajevo dan bandar lain di Bosnia semalam, beberapa hari selepas seorang wanita dibunuh pasangannya yang menyiarkan pembunuhan itu secara langsung di media sosial.
  • Suspek berusia 35 tahun itu menyiarkan pembunuhan berkenaan secara langsung di Instagram, sebelum membunuh dua lagi lelaki dan membunuh dirinya sendiri, tindakan yang mengejutkan negara Balkan itu.
  • “Kami menuntut tindakan femisid (pembunuhan wanita) diisytiharkan sebagai jenayah berasingan,” kata Datuk Bandar Sarajevo, Benjamina Karic, kepada orang ramai.
  • Bercakap bagi pihak penunjuk perasaan, Karic menggesa hukuman lebih keras terhadap jenayah femisid dan keganasan rumah tangga, selain mewujudkan lebih banyak rumah perlindungan untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan.
  • Beliau menggalakkan lebih ramai mangsa keganasan seumpamanya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

SARAJEVO: Ribuan penduduk berarak di Sarajevo dan bandar lain di Bosnia semalam, beberapa hari selepas seorang wanita dibunuh pasangannya yang menyiarkan pembunuhan itu secara langsung di media sosial.

Suspek berusia 35 tahun itu menyiarkan pembunuhan berkenaan secara langsung di Instagram, sebelum membunuh dua lagi lelaki dan membunuh dirinya sendiri, tindakan yang mengejutkan negara Balkan itu.

“Kami menuntut tindakan femisid (pembunuhan wanita) diisytiharkan sebagai jenayah berasingan,” kata Datuk Bandar Sarajevo, Benjamina Karic, kepada orang ramai.

Bercakap bagi pihak penunjuk perasaan, Karic menggesa hukuman lebih keras terhadap jenayah femisid dan keganasan rumah tangga, selain mewujudkan lebih banyak rumah perlindungan untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan.

Pada masa sama, beliau menggalakkan lebih ramai mangsa keganasan seumpamanya tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Ini adalah detik terakhir untuk melaksanakan langkah sewajarnya. Semua pihak yang memiliki kuasa dan bertolak ansur dengan keadaan ini dianggap bersubahat dalam keganasan ini,” katanya.

Terdahulu, penunjuk perasaan berhimpun sambil membawa sepanduk tertulis ‘Hentikan femisid’, ‘Katakan tidak pada keganasan’ dan ‘Berdiam diri adalah bersubahat’.

Penunjuk perasaan turut berhimpun di jalan raya sekitar bandar Gradacac selepas menghadiri pengebumian mangsa, selain di bandar Mostar dan Zenica.

Jumaat lalu, ahli bina badan profesional yang juga pelatih kecergasan, Nermin Sulejmanovic, 35, membunuh pasangannya, Nizama Hecimovic, 37, menggunakan pistol selepas memukulnya, sambil menyiarkan perlakuan jenayah itu di Instagram.

Sebelum itu, Sulejmanovic memaksa mangsa dan anak mereka yang berusia sembilan bulan untuk meninggalkan kediaman sepupu Hecimovic, lokasi wanita itu bersembunyi selepas melarikan diri akibat dipukul beberapa hari sebelumnya.

Menurut laporan media tempatan, siaran pembunuhan itu disaksikan secara langsung oleh ribuan orang, termasuk ada antaranya yang menggalakkan suspek untuk terus bertindak ganas.

Selepas membunuh pasangannya, Sulejmanovic membunuh dua lagi individu iaitu seorang lelaki dan anaknya serta mencederakan tiga yang lain iaitu seorang wanita dan dua lelaki, termasuk seorang anggota polis.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan memaklumkan, kira-kira 20 wanita dibunuh pasangan mereka di Bosnia dalam tempoh dua tahun lalu.

Negara yang memiliki 3.5 juta penduduk itu merekodkan 48 peratus wanita menjadi mangsa keganasan lelaki selepas berusia 15 tahun, berdasarkan kajian OSCE pada 2018. – AFP

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *