Connect with us

Antarabangsa

Dituduh ubah keputusan pilihan raya, Trump mengaku tidak bersalah

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku tidak bersalah semalam atas pertuduhan jenayah berkonspirasi untuk mengubah keputusan pilihan raya 2020 dan menipu rakyat republik itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Dituduh ubah keputusan pilihan raya, Trump mengaku tidak bersalah
Foto: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
  • Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku tidak bersalah semalam atas pertuduhan jenayah berkonspirasi untuk mengubah keputusan pilihan raya 2020 dan menipu rakyat republik itu.
  • “Tidak bersalah,” kata Trump selepas Hakim Majistret Moxila Upadhyaya membaca empat pertuduhan jenayah setebal 45 muka surat yang membawa hukuman penjara maksimum, dengan pihak pendakwa raya diketuai peguam pembela khas Jack Smith.
  • “Tujuan konspirasi untuk mengubah keputusan absah pada pilihan raya presiden 2020 dengan secara sedar menggunakan dakwaan palsu bagi menipu keputusan pilihan raya,” jelas pertuduhan itu.
  • Pertuduhan bahawa Trump serta enam lagi individu tidak dinamakan berkomplot untuk mengubah keputusan pilihan raya 2020, kes paling serius yang mengancam usahanya untuk kembali ke Rumah Putih.

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengaku tidak bersalah semalam atas pertuduhan jenayah berkonspirasi untuk mengubah keputusan pilihan raya 2020 dan menipu rakyat republik itu.

Trump yang mendahului persaingan menjadi calon Presiden AS parti Republikan 2024, membuat pengakuan itu ketika pendengaran pertuduhan selama 30 minit di sebuah mahkamah di Washington.

“Tidak bersalah,” kata Trump selepas Hakim Majistret Moxila Upadhyaya membaca empat pertuduhan jenayah setebal 45 muka surat yang membawa hukuman penjara maksimum, dengan pihak pendakwa raya diketuai peguam pembela khas Jack Smith.

Smith yang juga bekas pendakwa raya bagi jenayah perang di Hague, membuat pertuduhan bahawa Trump berkonspirasi menipu AS, berkonspirasi dan menghalang prosiding rasmi dan cuba melucutkan hak pengundi dengan tuduhan palsu bahawa beliau memenangi pilihan raya.

“Tujuan konspirasi itu adalah untuk mengubah keputusan yang absah pada pilihan raya presiden 2020 dengan secara sedar menggunakan dakwaan palsu bagi menipu keputusan pilihan raya,” jelas pertuduhan itu.

Smith mengaitkan tindakan Trump selepas kekalahannya secara langsung dengan serangan di Capitol, yang disifatkan sebagai ‘serangan julung kali terhadap demokrasi AS.’

Hakim kemudian menetapkan tarikh pendengaran seterusnya pada 28 Ogos di hadapan Hakim Mahkamah Daerah AS, Tanya Chutkan, yang akan mendengar perbicaraan penuh nanti.

“Saya memberi jaminan kepada semua pihak bahawa proses dan perbicaraan yang adil akan dilaksanakan,” kata Upadhyaya.

Sebelum ini, jutawan berusia 77 tahun itu dikenakan pertuduhan bagi dua kes jenayah berbeza, dan pertuduhan konspirasi terbaharu itu dijangka menyebabkan beliau bergelut dengan perbicaraan ketika kemuncak kempen pilihan raya tahun depan.

Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Nasional Reagan sebelum berlepas ke Washington menaiki pesawat peribadinya, Trump menyifatkan kes itu sebagai ‘pertuduhan politik’.

“Ini adalah hari yang sedih bagi AS. Ini adalah pertuduhan terhadap individu yang mendahului calon Republikan dan (Presiden AS, Joe) Biden dengan jumlah yang amat besar.

“Jadi jika mereka tidak boleh kalahkan saya, mereka kenakan tuduhan jenayah pada saya. Kita tidak boleh benarkan ini berlaku di AS,” katanya.

Pertuduhan bahawa Trump serta enam lagi individu tidak dinamakan berkomplot untuk mengubah keputusan pilihan raya 2020, adalah kes paling serius yang mengancam usahanya untuk kembali ke Rumah Putih.

Komplot pilihan raya itu dikatakan turut merangkumi cubaan memberi tekanan pada Mike Pence untuk mensabotaj undi Daftar Pemilih Kolej ketika sesi bersama Kongres yang berlangsung untuk mengesahkan kemenangan Biden, namun bekas Naib Presiden AS enggan berbuat demikian.

Trump dijadualkan dibicarakan di Florida pada Mei tahun depan bagi pertuduhan beliau mengambil dokumen sulit kerajaan dan dibawa ke kediamannya di Mar-A-Lago dan enggan memulangkannya.

Bekas Presiden AS yang dikenakan usul pemecatan sebanyak dua kali itu, turut berdepan pertuduhan jenayah di New York atas dakwaan membayar wang sogokan kepada seorang bintang filem porno menjelang pilihan raya.

Beliau mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.

Sementara itu, Biden ketika ditanya sama ada beliau akan mengikuti perbicaraan berkenaan ketika sedang bercuti di Delaware, secara ringkas menjawab: “Tidak.” 

Sumber: Berita Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *