Antarabangsa
Tahanan Ukraine hadapi seksaan, keganasan seksual tentera Russia
Sebahagian besar banduan ditahan di pusat tahanan sementara di selatan Ukraine yang diduduki Russia, diseksa dan dicabul secara seksual, kata satu pasukan pakar antarabangsa hari ini, dalam ringkasan penemuan terbaru mereka.
- Sebahagian besar banduan ditahan di pusat tahanan sementara di selatan Ukraine yang diduduki Russia, diseksa dan dicabul secara seksual, kata satu pasukan pakar antarabangsa hari ini, dalam ringkasan penemuan terbaru mereka.
- Pasukan berkenaan, Mobile Justice Team, yang ditubuhkan firma undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Global Rights Compliance, bekerjasama dengan pendakwa raya jenayah perang Ukraine di wilayah Kherson sejak ia dituntut semula pada November tahun lalu, selepas lebih lapan bulan berada di bawah kawalan Russia.
- Laporan terbaru Mobile Justice Team, yang dibiayai Britain, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) menganalisis 320 kes dan keterangan saksi di 35 lokasi di wilayah Kherson.
- Menerusi satu kenyataan, pasukan itu berkata, daripada keterangan mangsa yang disemak, sebanyak ’43 peratus secara jelas menyebut mengenai tindakan penyeksaan di pusat tahanan, membabitkan keganasan seksual sebagai taktik biasa yang dikenakan ke atas mereka oleh pengawal Russia’.
- Sekurang-kurangnya 36 mangsa yang ditemu bual pihak pendakwa raya memaklumkan mengenai penggunaan renjatan elektrik semasa soal siasat, kebiasaannya pada kemaluan dan ancaman untuk mencacatkan bahagian badan itu.
AMSTERDAM: Sebahagian besar banduan ditahan di pusat tahanan sementara di selatan Ukraine yang diduduki Russia, diseksa dan dicabul secara seksual, kata satu pasukan pakar antarabangsa hari ini, dalam ringkasan penemuan terbaru mereka.
Pasukan berkenaan, Mobile Justice Team, yang ditubuhkan firma undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Global Rights Compliance, bekerjasama dengan pendakwa raya jenayah perang Ukraine di wilayah Kherson sejak ia dituntut semula pada November tahun lalu, selepas lebih lapan bulan berada di bawah kawalan Russia.
Pihak berkuasa Ukraine sedang menyemak lebih 97,000 laporan jenayah perang dan sudah memfailkan tuduhan terhadap 220 suspek di mahkamah domestik.
Pelaku jenayah peringkat tinggi boleh dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, yang sudah pun meminta penahanan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Kremlin secara konsisten menafikan dakwaan jenayah perang di Ukraine oleh tentera yang menyertai ‘operasi ketenteraan khas’, yang dikatakan dilancarkan untuk menghapuskan ideologi Nazi di negara jirannya itu dan melindungi Russia.
Laporan terbaru Mobile Justice Team, yang dibiayai Britain, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) menganalisis 320 kes dan keterangan saksi di 35 lokasi di wilayah Kherson.
Menerusi satu kenyataan, pasukan itu berkata, daripada keterangan mangsa yang disemak, sebanyak ’43 peratus secara jelas menyebut mengenai tindakan penyeksaan di pusat tahanan, membabitkan keganasan seksual sebagai taktik biasa yang dikenakan ke atas mereka oleh pengawal Russia’.
Pada Jun, pendakwa raya Ukraine membawa kes pertama mereka berhubung dakwaan pengusiran puluhan anak yatim dari Kherson, mendakwa seorang ahli politik Russia dan dua sekutu dari Ukraine yang disyaki melakukan jenayah perang.
Mereka bagaimanapun tidak memberikan komen segera berhubung penemuan terbaru itu.
“Skala sebenar jenayah perang Russia masih tidak diketahui,” kata penasihat undang-undang kanan di Global Rights Compliance, Anna Mykytenko, berhubung penemuan terbaru mengenai penyeksaan itu.
“Bagaimanapun, apa yang boleh kami katakan dengan pasti adalah kesan psikologi daripada jenayah kejam ini ke atas rakyat Ukraine akan terpahat dalam fikiran mereka untuk bertahun-tahun akan datang.” katanya.
Sekurang-kurangnya 36 mangsa yang ditemu bual pihak pendakwa raya memaklumkan mengenai penggunaan renjatan elektrik semasa soal siasat, kebiasaannya pada kemaluan dan ancaman untuk mencacatkan bahagian badan itu.
Laporan itu menyatakan, seorang mangsa dipaksa menyaksikan seorang tahanan lain dirogol.
Tahanan yang paling berkemungkinan melalui penyeksaan ialah anggota tentera, selain penguatkuasa undang-undang, sukarelawan, aktivis, ketua masyarakat, pekerja perubatan dan guru.
Katanya, cara penyeksaan yang paling biasa digunakan adalah membuat tahanan sesak nafas dan lemas, memukul dengan teruk serta ancaman rogol.
Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.
Berdasarkan bukti dari pusat tahanan berkenaan, ‘menunjukkan rancangan Putin untuk menghapuskan identiti Ukraine, termasuk pelbagai jenayah yang menggambarkan pembunuhan beramai-ramai’, kata Peguam Britain, Wayne Jordash, yang mengetuai pasukan itu.
Sumber: Berita Harian