Antarabangsa
Rasuah, pembelotan belenggu Ukraine dalam perang dengan Russia
Presiden Ukraine, Voldymyr Zelenskiy semalam menegaskan beliau tidak akan sesekali bertolak ansur dengan rasuah dan pengkhianatan dalam hal ehwal negara.
- Presiden Ukraine, Voldymyr Zelenskiy semalam menegaskan beliau tidak akan sesekali bertolak ansur dengan rasuah dan pengkhianatan dalam hal ehwal negara.
- Ketegasan itu disuarakan beliau ketika negaranya sendiri sedang bergelut untuk mencari kaedah untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan Russia.
- Video ucapan antirasuah itu disiarkan ketika dua kes penting terbongkar, membabitkan penahanan seorang pegawai pengambilan tentera yang dituduh melakukan penyelewengan besar-besaran dan seorang Ahli Parlimen yang dituduh bekerjasama dengan Russia.
- Pada bulan lalu, Zelenskiy pernah mengumumkan rancangannya untuk mengaudit pejabat draf tentera untuk cuba menghapuskan anasir rasuah.
- Langkah itu sebahagian daripada dasar lama untuk membersihkan jabatan tentera dan kerajaan dalam usaha menunjukkan kepada penyokong Barat Ukraine, bahawa beliau serius menangani rasuah yang sudah berakar.
KYIV – Presiden Ukraine, Voldymyr Zelenskiy semalam menegaskan beliau tidak akan sesekali bertolak ansur dengan rasuah dan pengkhianatan dalam hal ehwal negara.
Ketegasan itu disuarakan beliau ketika negaranya sendiri sedang bergelut untuk mencari kaedah untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan Russia.
Video ucapan antirasuah itu disiarkan ketika dua kes penting terbongkar, membabitkan penahanan seorang pegawai pengambilan tentera yang dituduh melakukan penyelewengan besar-besaran dan seorang Ahli Parlimen yang dituduh bekerjasama dengan Russia.
Pada bulan lalu, Zelenskiy pernah mengumumkan rancangannya untuk mengaudit pejabat draf tentera untuk cuba menghapuskan anasir rasuah.
Langkah itu sebahagian daripada dasar lama untuk membersihkan jabatan tentera dan kerajaan dalam usaha menunjukkan kepada penyokong Barat Ukraine, bahawa beliau serius menangani rasuah yang sudah berakar.
Ia adalah elemen utama dalam proses yang panjang untuk memperoleh keanggotaan Kesatuan Eropah (EU).
Menurut Zelenskiy, lazimnya rakyat Ukraine yang menyokong perang marah dengan amalan rasuah.
“Biar saya beri amaran kepada semua Ahli Parlimen, pegawai dan semua yang bekerja sebagai penjawat awam.
“Apabila anda menghabiskan masa berhari-hari mencari senjata untuk negara, apabila semua perhatian orang tertumpu pada artileri, peluru berpandu dan dron… anda merasakan kekuatan moral diberikan tentera kita kepada Ukraine.
“Tiada sesiapa yang akan memaafkan Ahli Parlimen, hakim, pegawai tentera atau mana-mana pegawai lain kerana meletakkan diri mereka sebagai penentang negara,” katanya.
Terdahulu, pihak berkuasa undang-undang berkata ketua pusat pengambilan tentera di selatan Ukraine yang dituduh melakukan rasuah dan penyelewengan, dikeluarkan perintah tahanan pra-perbicaraan dengan jaminan ditetapkan lebih AS$4 juta (RM18.2 juta).
Agensi Kebangsaan Pencegahan Rasuah Ukraine memaklumkan, Ketua Pejabat Pengambilan Tentera di Odesa, Yevhen Borysov, dituduh memperoleh dana yang tidak dapat dijelaskan puncanya lebih AS$5 juta (RM22.8 juta).
Satu lagi kes membabitkan seorang ahli Parlimen, Oleksandr Ponomaryov, disyaki bekerjasama dengan Russia di kawasan tenggara Ukraine yang diduduki, ditangkap sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan pengkhianatan.
Sumber: Berita Harian