Antarabangsa
Liverpool setuju jual Henderson RM70.50 juta
Liverpool bersetuju untuk menjual Jordan Henderson kepada kelab Arab Saudi Al-Ettifaq dengan perjanjian bernilai £12 juta (RM70.50 juta) dan nilai tambahan yang lain.
- Liverpool bersetuju untuk menjual Jordan Henderson kepada kelab Arab Saudi Al-Ettifaq dengan perjanjian bernilai £12 juta (RM70.50 juta) dan nilai tambahan yang lain.
- Pemain berusia 33 tahun itu dipercayai mencapai persetujuan lisan dengan kelab itu yang kini diuruskan oleh bekas rakan sepasukan di Anfield, Steven Gerrard dengan gaji yang dilaporkan sebanyak £700,000 (RM4.1 juta) seminggu.
- Kapten The Reds itu berada di Jerman bersama pasukan untuk jelajah pra-musim mereka tetapi diketepikan daripada skuad Jurgen Klopp menentang Karlsruhe dalam perlawanan persahabatan pertama mereka semalam.
LONDON – Liverpool bersetuju untuk menjual Jordan Henderson kepada kelab Arab Saudi Al-Ettifaq dengan perjanjian bernilai £12 juta (RM70.50 juta) dan nilai tambahan yang lain.
Pemain berusia 33 tahun itu dipercayai mencapai persetujuan lisan dengan kelab itu yang kini diuruskan oleh bekas rakan sepasukan di Anfield, Steven Gerrard dengan gaji yang dilaporkan sebanyak £700,000 (RM4.1 juta) seminggu.
Kapten The Reds itu berada di Jerman bersama pasukan untuk jelajah pra-musim mereka tetapi diketepikan daripada skuad Jurgen Klopp menentang Karlsruhe dalam perlawanan persahabatan pertama mereka semalam.
Apabila ditanya mengenai ketiadaan Henderson selepas perlawanan, Klopp berkata: “Sebenarnya tiada apa yang boleh dikatakan.
“Selagi perkara tidak benar-benar diputuskan, kita tidak perlu bercakap mengenainya. Akan ada masa di mana kita mungkin perlu membincangkannya, tetapi bukan sekarang.
“Saya tidak tahu bahawa adakah ia sudah diputuskan dan ia tidak bermakna apa-apa untuk dikatakan masa ini.
“Tetapi itu lebih baik untuk anda kerana anda boleh membuat spekulasi, yang lebih menyeronokkan! Jika saya mengatakan sesuatu maka ia sudah selesai!
Henderson membuat 491 penampilan sejak menyertai Liverpool dari Sunderland dengan harga £20 juta (RM117.52 juta) pada 2011 dan menerajui pasukan itu untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Dia juga pernah memenangi Piala FA dan dua Piala Liga.
Minggu lalu kumpulan penyokong LGBT England mengkritik Henderson apabila khabar angin mengenai perpindahan ke Arab Saudi tersebar, dengan pemain tengah itu menjadi sekutu memperjuangkan komuniti LGBT dalam bola sepak.
Dia memakai lilitan pelangi semasa England beraksi di final Euro 2020 dan berulang kali menyuarakan sokongannya yang lebih besar dalam bola sepak.
Homoseksualiti adalah haram dan boleh dihukum mati di negara Teluk.
Satu kenyataan daripada kumpulan itu berbunyi: “Kegembiraan kami untuk Henderson apabila dia menjaringkan gol menentang Ukraine di Euro (suku akhir), sebahagiannya kerana kebaikannya dan lilitan pelanginya yang ‘bertuah’.
“Sepanduk dicipta untuk memperingati apa yang dia lakukan untuk kami dan memperjuangkan hak kami menyokong England dengan menunjukkan di atas padang.
“Sekiranya khabar angin itu benar, maka sepanduk itu akan dihantar ke kedalaman sejarah.”
Sumber: Harian Metro