Terkini
Kerajaan Madani, Kerajaan Negeri diminta hapuskan judi — Mufti Perlis
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA menyeru semua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk menghapuskan lesen judi sebagaimana dilakukan Kerajaan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
- Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA menyeru semua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk menghapuskan lesen judi sebagaimana dilakukan Kerajaan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
- Beliau berkata Malaysia MADANI akan lebih bererti sekiranya usaha menghapuskan judi dimasukkan dalam agendanya.
- Katanya, ini kerana isu judi bukan isu khilaf fekah, ia jelas haram di sisi agama Islam dan amat jelas keburukannya kepada rakyat tanpa mengira latar agama dan bangsa.
- “Kita tidak menuntut untuk dihapuskan dalam masa sehari dua, tetapi usaha ke arah itu hendaklah dilakukan secara berterusan. Jika itu berlaku, kita bersama menyokong hasrat itu.
- “Harapan kita, agar negara kita ini seperti yang Allah sebut dalam al-Quran dalam Surah Saba ayat 15: “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!” katanya menerusi laman web Jabatan Mufti Negeri Perlis pada Ahad.
- Banyak kajian di peringkat antarabangsa yang merentasi latar agama dan bangsa dibuat menunjukkan kesan buruk judi terhadap individu dan masyarakat dari aspek kesihatan fizikal dan mental.
KUALA LUMPUR — Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA menyeru semua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk menghapuskan lesen judi sebagaimana dilakukan Kerajaan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Beliau berkata Malaysia MADANI akan lebih bererti sekiranya usaha menghapuskan judi dimasukkan dalam agendanya.
Katanya, ini kerana isu judi bukan isu khilaf fekah, ia jelas haram di sisi agama Islam dan amat jelas keburukannya kepada rakyat tanpa mengira latar agama dan bangsa.
“Kita tidak menuntut untuk dihapuskan dalam masa sehari dua, tetapi usaha ke arah itu hendaklah dilakukan secara berterusan. Jika itu berlaku, kita bersama menyokong hasrat itu.
“Harapan kita, agar negara kita ini seperti yang Allah sebut dalam al-Quran dalam Surah Saba ayat 15: “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!” katanya menerusi laman web Jabatan Mufti Negeri Perlis pada Ahad.
Dr Maza mempersoalkan kewajaran kita mendakwa sebagai masyarakat Muslim, namun pada masa sama membiarkan pusat perjudian berlesen dibangunkan secara nyata di kawasan sendiri.
Katanya, apa lebih menyedihkan apabila ada segelintir kelompok sibuk dengan khilaf mazhab dan khilaf cabang perbahasan akidah tetapi mendiamkan diri tentang isu pusat judi besar yang ada di negerinya.
Mufti Perlis itu menuntut rakan mufti dan golongan agamawan bersuara dalam perkara sedemikian.
“Tiada kaum atau agama yang akan menderita kerana tiada aktiviti perjudian. Hanya pemikiran yang rosak sahaja yang menganggap tanpa judi kehidupan tidak dapat berjalan dengan sempurna. Sebaliknya, judilah punca yang merosakkan kehidupan manusia.
“Saya tidak boleh terbayang mana-mana penganut agama boleh tampil mempertahankan judi atas alasan agama kami menyukai judi. Saya tidak fikir ada agama yang konyol seperti itu,” katanya.
Dr Maza berkata judi merosakkan individu dan masyarakat manusia bahkan setiap pengkaji yang insaf, tanpa mengira latar agama dan kaum jika menggunakan akal yang seimbang dan waras, akan akur kesan judi kepada masyarakat manusia adalah buruk.
Katanya, banyak kajian di peringkat antarabangsa yang merentasi latar agama dan bangsa dibuat menunjukkan kesan buruk judi terhadap individu dan masyarakat dari aspek kesihatan fizikal dan mental. — The Merdeka Times
Sumber: Laman Web Jabatan Mufti Negeri Perlis
You must be logged in to post a comment Login