Antarabangsa
Mahkamah Kathmandu tolak permohonan pendaftaran perkahwinan pasangan gay
Mahkamah Daerah Kathmandu pada Khamis menolak permohonan pendaftaran perkahwinan yang difailkan pasangan gay walaupun Mahkamah Agung Nepal menghalalkan perkahwinan sejenis di negara itu.
- Mahkamah Daerah Kathmandu pada Khamis menolak permohonan pendaftaran perkahwinan yang difailkan pasangan gay walaupun Mahkamah Agung Nepal menghalalkan perkahwinan sejenis di negara itu.
- Menurut laporan Deccan Herald, Maya Gurung, 38, dan Surendra Pandey, 27, kedua-duanya dilahirkan lelaki dan telah memohon kebenaran mahkamah untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.
- Bagaimanapun, panel tunggal hakim mahkamah daerah, Madhav Prasad Mainali menolak permohonan itu atas alasan kedua-dua pemohon adalah daripada jantina sama.
Mahkamah Daerah Kathmandu pada Khamis menolak permohonan pendaftaran perkahwinan yang difailkan pasangan gay walaupun Mahkamah Agung Nepal menghalalkan perkahwinan sejenis di negara itu.
Menurut laporan Deccan Herald, Maya Gurung, 38, dan Surendra Pandey, 27, kedua-duanya dilahirkan lelaki, memohon kebenaran mahkamah untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, panel tunggal hakim mahkamah daerah, Madhav Prasad Mainali menolak permohonan itu atas alasan kedua-dua pemohon adalah daripada jantina sama.
“Mahkamah Agung (Nepal) telah mengeluarkan perintah sementara untuk mendaftarkan perkahwinan sejenis. Tetapi malangnya, Mahkamah Daerah Kathmandu menolak permohonan ahli komuniti minoriti seksual,” kata seorang aktivis terkemuka komuniti minoriti seksual dan jantina, Sunil Babu Panta.
Dia mendakwa tindakan mahkamah itu bukan sahaja memberi tamparan kepada komuniti minoriti seksual, tetapi tidak menghormati perintah Mahkamah Agung Nepal.
Pada 28 Jun lalu, Mahkamah Agung Nepal menghalalkan perkahwinan sejenis, bagaimanapun negara itu masih belum menggubal undang-undang untuk pendaftaran perkahwinan sejenis.
Mahkamah tertinggi di Nepal itu juga meluluskan perintah sementara meminta pihak berkuasa membuat peraturan sementara untuk mendaftarkan perkahwinan sejenis sebelum undang-undang khusus digubal.
Sumber: Deccan Herald