Connect with us

Terkini

Silibus Matematik Malaysia tidak berkualiti – Pendidik

Seorang pendidik menyifatkan silibus Matematik di Malaysia sebagai sangat tidak berkualiti dan semakin teruk dengan melahirkan generasi manja dan malas yang akhirnya menjadi buta subjek terbabit.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Silibus Matematik Malaysia tidak berkualiti – Pendidik
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Seorang pendidik menyifatkan silibus Matematik di Malaysia sebagai sangat tidak berkualiti dan semakin teruk dengan melahirkan generasi manja dan malas yang akhirnya menjadi buta subjek terbabit.
  • Amirul Faiz dalam hantarannya di Facebook (FB) menuntut silibus Matematik berlandaskan ‘Pure Math’ dikembalikan semula, malah beliau menawarkan diri untuk menggubal silibus terbabit tanpa sebarang bayaran dikenakan demi masa depan anak-anak.
  • “Terus terang saya mengatakan, silibus Matematik Malaysia sangat tak berkualiti, dan adanya KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan pihak jabatan yang mabuk ketum, makin merudumlah pencapaian pelajar kita,” kata Amirul.
  • Beliau turut membangkitkan isu guru yang tidak kompeten di mana ada guru ahli (major) dalam subjek lain, namun terpaksa mengajar Matematik.
  • The Merdeka Times mendapati bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik dan penyelidik pendidikan, Dr Anuar Ahmad turut berkongsi semula hantaran FB Amirul.
  • Dr Maszlee turut meminta pihak KPM untuk menilai hujah yang diutarakan Amirul kerana ia dilihat mempunyai logik dan kewajarannya. 

KUALA LUMPUR — Seorang pendidik menyifatkan silibus Matematik di Malaysia sebagai sangat tidak berkualiti dan semakin teruk dengan melahirkan generasi manja dan malas yang akhirnya menjadi buta subjek terbabit.

Amirul Faiz dalam hantarannya di Facebook (FB) menuntut silibus Matematik berlandaskan ‘Pure Math’ dikembalikan semula, malah beliau menawarkan diri untuk menggubal silibus terbabit tanpa sebarang bayaran dikenakan demi masa depan anak-anak.

“Terus terang saya mengatakan, silibus Matematik Malaysia sangat tak berkualiti, dan adanya KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan pihak jabatan yang mabuk ketum, makin merudumlah pencapaian pelajar kita. 

“Dari dulu kaji, selidik, pinda, kaji, selidik, pinda. Berapa kali silibus ditukar? Yang tahu, mesyuarat mesti ada jamuan, minit mesyuarat, gelak ketawa, tanpa rasa keseriusan masalah silibus kini. 

“Maaflah jika ada orang jabatan di sini yang terasa pedas, tapi kami di sini lebih rasa ‘panas’ dengan tanggungjawab kamu semua. Percayalah, benda ini pasti akan jadi ‘Domino effect’ pada generasi akan datang,” katanya.

Foto: Tangkap Layar hantaran FaceBook Amirul Faiz

Mengulas lanjut, Amirul berkata Matematik tulen sewajarnya mengajar pelajar dari proses pengiraan dan konsep bukannya dengan bacaan serta menghafal.

Beliau turut mempersoalkan kepentingan topik tingkatan tiga bab simpanan, pelaburan, kredit dan hutang selain topik pengurusan kewangan dalam Matematik tingkatan empat sedangkan untuk pelajar menguruskan masa belajar sahaja masih terkial-kial.

Katanya, beliau sebagai pengkaji silibus luar negara tidak pernah melihat topik pengurusan kewangan dalam silibus pendidikan di sana.

Beliau turut menyifatkan topik mata wang asing yang dimasukkan dalam silibus sekolah rendah sebagai tindakan karut kerana ia dilihat tidak sesuai untuk diajarkan di peringkat sekolah terbabit.

“Kita mahu memupuk proses asas Matematik atau ‘fundamental’ di bangku sekolah, bukan pengurusan dan mengenal mata wang kerana ini adalah ‘Application’ Matematik dan boleh diajar bila semua asas telah kukuh. 

“Di peringkat lebih tinggi dan pada yang nak dalami ilmu Matematik, pelajar pula dikenalkan dengan ‘theory’ Matematik yang lebih sukar (contoh: Teori Graf dan Abstrak). 

“Baru la betul aliran dia, bukan semua benda nak sumbat dalam silibus macam tauhu sumbat disebabkan kononnya topik berkenaan adalah penting dalam kehidupan,” katanya.

Amirul turut membangkitkan isu guru yang tidak kompeten di mana ada guru ahli (major) dalam subjek lain, namun terpaksa mengajar Matematik.

Katanya, senario ini boleh dilihat apabila ada guru cuti bersalin diganti guru lain yang disifatkan tidak kompeten mengajar pelajar menyebabkan keadaan menjadi cacamarba apabila pelajar mulai keliru dengan cara didikan berbeza.

Foto: Tangkap Layar hantaran FaceBook Amirul Faiz

Pada masa sama, Amirul menggesa Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dimansuhkan dan KPM diminta untuk membuat tinjauan di sekolah bukan berasrama untuk melihat sendiri kelemahan silibus di Malaysia.

Katanya, ini kerana peringkat sekolah adalah platform untuk mengukuhkan konsep Matematik dan memupuk minat dalam kalangan pelajar.

“Soalan semua memaksa pelajar berfikir aras tinggi, tapi bila peperiksaan, aras markah Matematik direndahkan supaya nampak ramai pelajar dapat A dan lulus. Kelogikan apakah ini? Kemudian canang satu negara bahawa ada peningkatan, berlumba-lumba mengatakan tahun itu adalah silibus terbaik, tiada masalah dan maju. 

“Pernah lihat berapa ramai pelajar yang gagal? Pernah tahu pelajar ‘straight A’ pon gagal di peringkat Universiti? Inikah kualiti pelajar yang kita nak? Hebat cuma di atas kertas. Tak cerita lagi pelajar yang gagal walaupun aras markah diturunkan,” kata Amirul menerusi hantaran di FB yang mendapat lebih empat ribu tanda suka dan tujuh ribu pengguna berkongsi semula hantaran terbabit.

Foto: Tangkap layar FaceBook Dr Maszlee Malik

The Merdeka Times mendapati bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik dan penyelidik pendidikan, Dr Anuar Ahmad turut berkongsi semula hantaran FB Amirul. 

Malah Dr Maszlee turut meminta pihak KPM untuk menilai hujah yang diutarakan Amirul kerana ia dilihat mempunyai logik dan kewajarannya. — The Merdeka Times

Sumber : Facebook Amirul Faiz, Dr Maszlee Malik

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *