Antarabangsa
Asia Tenggara wajib jadi zon bebas senjata nuklear
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, mengulangi gesaan supaya semua pihak berkaitan mesti berusaha sedaya upaya memelihara rantau Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata nuklear, lapor Agensi Berita ANTARA.
- Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, ulangi gesaan supaya semua pihak berkaitan mesti berusaha sedaya upaya memelihara rantau Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata nuklear, lapor Agensi Berita ANTARA.
- Semasa mempengerusikan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-56 di Jakarta pada Selasa, menteri itu menyatakan dunia kini menyaksikan tahap risiko penggunaan senjata nuklear yang lebih tinggi berbanding sebarang tempoh dalam sejarah baru-baru ini.
- “Tiada senjata lebih kuat dan merosakkan daripada senjata nuklear, dengan senjata nuklear, kita hanya satu kesilapan perhitungan daripada kiamat dan malapetaka global,” kata Marsudi.
- Beliau menyatakan, Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) menyumbang kepada usaha bersama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau ini melalui pelucutan senjata global.
- Pada tahun 1995, semua anggota ASEAN menandatangani Perjanjian SEANWFZ, juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok.
- Perjanjian itu mewajibkan negara menandatanganinya untuk tidak ‘membangun, mengeluarkan atau sebaliknya memperoleh, memiliki atau mengawal senjata nuklear, menempatkan atau mengangkut senjata nuklear, atau menguji atau menggunakan senjata nuklear’.
JAKARTA: Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, mengulangi gesaan supaya semua pihak berkaitan mesti berusaha sedaya upaya memelihara rantau Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata nuklear, lapor Agensi Berita ANTARA.
Semasa mempengerusikan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-56 di Jakarta pada Selasa, menteri itu menyatakan bahawa dunia kini menyaksikan tahap risiko penggunaan senjata nuklear yang lebih tinggi berbanding sebarang tempoh dalam sejarah baru-baru ini.
“Tiada senjata yang lebih kuat dan merosakkan daripada senjata nuklear, dengan senjata nuklear, kita hanya satu kesilapan perhitungan daripada kiamat dan malapetaka global,” kata Marsudi semasa pertemuan dengan menteri-menteri luar ASEAN.
Beliau menyatakan, Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) menyumbang kepada usaha bersama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau ini melalui pelucutan senjata global.
Bagaimanapun, menteri itu turut melahirkan rasa kesal kerana tiada satu pun negara senjata nuklear menandatangani protokol Perjanjian SEANWFZ yang ditandatangani oleh negara anggota ASEAN 25 tahun lalu.
Protokol itu sendiri digubal dalam usaha mempelawa lima kuasa nuklear – China, Russia, Perancis, United Kingdom, dan Amerika Syarikat (AS) – untuk menyertai usaha menzahirkan Asia Tenggara sebagai rantau yang bebas daripada senjata nuklear.
Namun, menteri itu menegaskan bahawa ASEAN harus terus maju ke hadapan untuk mencapai matlamat berkenaan kerana beliau melihat ancaman tersebut semakin hampir.
“Kita mesti tampil sebagai satu pakatan sebelum negara senjata nuklear. Selepas itu, barulah kita boleh menempa laluan yang lebih jelas ke arah rantau yang bebas daripada senjata nuklear,” tegasnya.
Pada tahun 1995, semua anggota ASEAN menandatangani Perjanjian SEANWFZ, juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok.
Perjanjian itu mewajibkan negara menandatanganinya untuk tidak ‘membangun, mengeluarkan atau sebaliknya memperoleh, memiliki atau mengawal senjata nuklear, menempatkan atau mengangkut senjata nuklear, atau menguji atau menggunakan senjata nuklear’.
Beberapa negara senjata nuklear menyatakan bantahan terhadap pelbagai perkara yang terdapat dalam protokol perjanjian itu.
Sementara itu, China menyatakan kesediaannya untuk menandatangani protokol berkenaan walaupun tiada tindakan konkrit dilihat setakat ini.
Sumber: Berita Harian