Terkini
Bakar al-Quran, Ketua Pembangkang gesa kerajaan panggil Duta Sweden
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menggesa kerajaan memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras terhadap kejadian membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, kelmarin.
- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menggesa kerajaan memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras terhadap kejadian membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, kelmarin.
- Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), berkata kejadian itu bukanlah yang pertama, sebaliknya sudah berulang kali dilakukan.
- Katanya, tindakan ekstremis serta biadab itu mesti ditolak dan dihentikan kerana ia jelas menggalakkan kebencian, perkauman dan bertentangan dengan usaha-usaha antarabangsa.
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menggesa kerajaan memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras terhadap kejadian membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, kelmarin.
Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), berkata kejadian itu bukanlah yang pertama, sebaliknya sudah berulang kali dilakukan.
Katanya, tindakan ekstremis serta biadab itu mesti ditolak dan dihentikan kerana ia jelas menggalakkan kebencian, perkauman dan bertentangan dengan usaha-usaha antarabangsa.
“Saya dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kecewa yang teramat sangat dengan sikap kerajaan Sweden yang membenarkan insiden tersebut berlaku walaupun sedar perbuatan sedemikian boleh mencetuskan perbalahan agama.
“Adalah malang apabila kerajaan Sweden sendiri tidak bertindak dengan sepatutnya dalam menyuburkan nilai-nilai toleransi, kesederhanaan dan penolakan terhadap ekstremisme apabila sekali lagi membenarkan insiden sedemikian berlaku di Sweden,” katanya dalam satu kenyataan.
Kelmarin, seorang lelaki berasal dari Iraq bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden sehingga mencetuskan kemarahan termasuk Turkiye ketika Sweden berusaha menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Perbuatan biadap itu dilakukan dua lelaki di luar masjid utama di ibu negara Sweden ketika sambutan Aidiladha.
Lapor Daily Mail, kira-kira 200 penduduk menyaksikan perbuatan lelaki itu, Salwan Momika yang membakar kitab suci itu.
Pada mulanya, Salwan dilihat mengoyakkan beberapa helaian al-Quran sebelum mengelap kasutnya selain turut membakar kitab suci umat Islam itu.
Insiden itu berlaku selepas polis meluluskan permit membenarkan lelaki itu melakukan perbuatan demikian.
Dilaporkan, dua minggu lalu mahkamah rayuan Sweden menolak larangan polis terhadap protes membakar al-Quran yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Sumber: Berita Harian