Terkini
Hanya kerana menegur suspek menunggang motosikal secara berbahaya, pegawai keselamatan maut dilibas pedang
Pengawal keselamatan yang cedera di kepala dan tangan kiri akibat dilibas pedang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) semalam.
- Pengawal keselamatan yang cedera di kepala dan tangan kiri akibat dilibas pedang itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
- Mangsa dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 petang semalam.
- Tertuduh, R Subramaniam, 41, mengaku bersalah terhadap perbuatannya.
- Kes berkenaan kemungkinan bakal dipinda mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
SUNGAI PETANI – Pengawal keselamatan yang cedera di kepala dan tangan kiri akibat dilibas pedang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) semalam.
Mangsa, Ismail Ahmad, 58, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 petang semalam selepas dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan mengenai kematian mangsa, namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.
Difahamkan, mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan punca kematian mangsa akan diketahui selepas bedah siasat yang dijangka dilakukan dalam masa terdekat.
Terdahulu, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pedang terhadap mangsa.
Tertuduh, R Subramaniam, 41, mengaku bersalah terhadap perbuatannya itu sebelum mahkamah menetapkan 29 Ogos depan untuk tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan perubatan penuh mangsa.
Mahkamah turut membenarkan Subramaniam diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan dengan meminta tertuduh melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sehingga kesnya selesai.
Difahamkan, kematian mangsa itu akan menyebabkan kes berkenaan kemungkinan bakal dipinda mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kejadian pada jam 4.40 petang Khamis lalu, Allahyarham Ismail cedera di kepala dan tangan kiri selepas dilibas pedang oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana ditegur mangsa ketika dia menunggang motosikal.
Mangsa dikatakan menegur perbuatan lelaki terbabit yang ketika itu dilihat menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan tapak projek berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Lelaki terbabit beredar sebelum datang semula bersama dua rakan dan melibas sebilah pedang terhadap mangsa sehingga pengawal keselamatan terbabit terpaksa dikejarkan ke hospital.
Susulan daripada kejadian itu juga menyebabkan berlaku penyebaran berita palsu di media sosial yang cuba dilakukan individu tertentu dipercayai sengaja mahu mencetuskan isu perkauman.
Sumber: Berita Harian