Antarabangsa
Cubaan perarakan LGBT di Istanbul gagal
Cubaan sekumpulan individu songsang menjalankan perarakan Trans Pride di Istanbul, Turkiye gagal apabila mereka ditahan polis hanya lima minit selepas berarak.
Cubaan sekumpulan individu songsang menjalankan perarakan Trans Pride di Istanbul, Turkiye gagal apabila mereka ditahan polis hanya lima minit selepas berarak.
Menerusi perkongsian video di Twitter, kelihatan kelompok itu berarak tanpa kebenaran membawa sepanduk dan mengibarkan bendera berjalur putih, merah jambu dan biru muda yang merupakan lambang rasmi transgender.
Tidak lama selepas itu, mereka dilihat dikejar dan ditahan pihak polis tempatan.
10 individu ditahan terdiri daripada peserta dan penganjur perarakan pada Ahad itu, tapi kesemuanya dibebaskan pada keesokan hari selepas diambil keterangan.
Memetik laporan Balkan Insight, rancangan penganjuran Istanbul Trans Pride Parade kesembilan di kejiranan Cihangir itu tetap diteruskan tanpa mempedulikan larangan Gabenor Istanbul.
Perarakan kelompok songsang itu juga merupakan acara tahunan pertama kali cuba diadakan semula selepas enam tahun penangguhan, demikian lapor Global Voices.
Turkiye merupakan salah satu negara yang tidak menyokong ideologi LGBT di dalam pemerintahannya.
Presidennya, Recep Tayyip Erdogan, yang dipilih semula rakyatnya untuk memimpin Turkiye, beberapa kali menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan paparan umum tentang homoseksual.
Erdogan, yang menggambarkan dirinya sebagai pembela nilai-nilai tradisional Islam, turut menegaskan ketika berkempen pilihan raya negara itu, bahawa ideologi liberal Barat tidak akan menyusup dalam parti pemerintahan atau sekutu nasionalnya.
Tokoh dunia Islam itu turut menyelar kumpulan LGBT dalam ucapannya sejurus disahkan memenangi pemilihan presiden Turkiye pada bulan lalu. – The Merdeka Times
Sumber: Twitter, Balkan Insight, Global Voices