Terkini
Oktoberfest : “Malaysia sepatutnya menjadi suri tauladan kepada negara-negara lain” – Sheikh Umar Bagharib, Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP
Malaysia sepatutnya berbangga kerana sejak bertahun-tahun Oktoberfest dianjurkan di negara ini, ia dilaksanakan dengan penuh etika dan mengikut peraturan, kata Sheikh Umar Bagharib Ali.
- Malaysia patut berbangga Oktoberfest dijalankan penuh etika dan ikut peraturan sejak ia dilaksanakan beberapa tahun lalu di negara ini.
- Sheikh Umar Bagharib Ali berkata dengan julukan ‘Islam’, Malaysia telah mempamerkan toleransi serta interaksi dalam kepelbagaiannya yang melahirkan sikap saling menghormati.
- Islam di Malaysia–negara berbilang agama dan budaya–tidak wajar disemai menerusi ancaman serta paksaan tidak berasas ke atas rakyatnya kerana pendekatan sebegitu membuahkan kebencian serta prejudis antara satu sama lain.
- “Di Malaysia, Islam merupakan agama rasmi persekutuan tanpa merendah-rendahkan agama dan kepercayaan yang lain. Agama lain boleh diamalkan dengan selamat dan sejahtera sesuai dengan kemajmukan kita. Inilah semangat perlembagaan,” – Sheikh Umar Bagharib Ali.
KUALA LUMPUR – Malaysia sepatutnya berbangga kerana sejak bertahun-tahun Oktoberfest dianjurkan di negara ini, ia dilaksanakan dengan penuh etika dan mengikut peraturan, kata Sheikh Umar Bagharib Ali.
“Sebagai sebuah negara dengan julukan ‘Islam’, Malaysia telah mempamerkan toleransi serta interaksi dalam kepelbagaiannya.
“Dari sini, lahirlah sikap saling menghormati,” kata ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP itu menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Memetik Malaysia Kini, veteran DAP Lim Kit Siang semalam dikatakan mendesak Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kenyataan menteri agama Idris Ahmad yang menolak Oktoberfest.
Katanya, pendirian itu mencabuli prinsip dan dasar dalam perlembagaan negara selain bukan amalan kerajaan sejak 65 tahun lalu.
Sejak berada di luar kerajaan, PAS antara pihak yang lantang menentang penganjuran Oktoberfest walaupun secara bersyarat.
Dalam kenyataan malam tadi, dia berkata Islam di Malaysia–negara berbilang agama dan budaya–tidak wajar disemai menerusi ancaman serta paksaan tidak berasas ke atas rakyatnya.
Dia yang juga naib pengerusi DAP Johor berkata pendekatan sebegitu hanya akan membuahkan kebencian serta prejudis antara satu sama lain.
“Pendekatan Malaysia sepatutnya menjadi suri teladan kepada negara-negara lain di dunia khususnya dalam konteks negara moden hari ini,” katanya yang turut menambah bahawa Islam mengajar penganutnya untuk menjauhi arak dan perkara memabukkan.
Bagaimanapun, katanya, pada masa yang sama agama lain juga ada ajaran serta garis panduannya tersendiri sama ada membenarkan atau melarang.
“Di Malaysia, Islam merupakan agama rasmi persekutuan tanpa merendah-rendahkan agama dan kepercayaan yang lain.
“Agama lain boleh diamalkan dengan selamat dan sejahtera sesuai dengan kemajmukan kita. Inilah semangat perlembagaan,” katanya.
Sumber : Malaysia kini, Facebook Sheikh Omar Ali