Terkini
Pulau Pinang larang sewa Airbnb jangka pendek
Pulau Pinang menyekat sewaan jangka pendek bagi penginapan Airbnb, menjadikannya destinasi pelancongan pertama di Asia Tenggara berbuat demikian.
- Pulau Pinang sekat sewaan sewaan jangka pendek bagi penginapan Airbnb.
- Larangan itu susulan aduan kelakuan buruk pelancong yang mengganggu penduduk di bangunan sama dengan rumah yang ditawarkan sebagai penginapan itu.
- Sektor pelancongan negeri itu tidak akan terjejas memandangkan penginapan sedia ada mencukupi untuk memenuhi permintaan. – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Pulau Pinang menyekat sewaan jangka pendek bagi penginapan Airbnb, menjadikannya destinasi pelancongan pertama di Asia Tenggara berbuat demikian.
Memetik laporan Independent, larangan ke atas jenis penginapan itu yang berkuat kuasa serta-merta itu dipertimbangkan selama lebih setahun lalu.
Menurut kerajaan negeri, larangan itu susulan aduan kelakuan buruk pelancong yang mengganggu penduduk di bangunan sama dengan rumah ditawarkan sebagai penginapan itu.
Peraturan terkini menyebut hanya hartanah komersial seperti pangsapuri servis dan pejabat kategori tertentu sahaja dibenarkan menerima tetamu jangka pendek.
Bagaimanapun, ia tertakluk pada pendaftaran, yuran tahunan dan kelulusan mandatori daripada 75 peratus penduduk lain di bangunan sama.
Tetamu pula dibenarkan tinggal di unit yang diluluskan sehingga tiga hari sahaja.
Dalam satu kenyataan, Airbnb menjelaskan penginapan sewa jangka pendek adalah penting untuk pertumbuhan pelancongan di peringkat negeri dan negara.
Kenyataan itu merujuk kepada kajian mereka yang menunjukkan 74 peratus penduduk Pulau Pinang percaya menyewa rumah melalui Airbnb memberi impak positif kepada komuniti mereka dan penduduknya.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagaimanapun menafikan yang sektor pelancongan negeri itu akan terjejas memandangkan penginapan sedia ada mencukupi untuk memenuhi permintaan.
Keputusan larangan itu menjejaki langkah Florence, Italy dan New York, Amerika Syarikat beberapa minggu lalu.
Namun New York kurang bernasib baik apabila pihak Airbnb bertindak mengeluarkan saman susulan larangan itu.
Sumber: Independent