Terkini
Tarif elektrik untuk T20 diumum masa terdekat
Penyelarasan tarif elektrik untuk pengguna domestik golongan berpendapatan tinggi (T20) akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
- Penyelarasan tarif elektrik untuk pengguna domestik golongan berpendapatan tinggi (T20) akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
- Ini kerana katanya, kerajaan perlu melihat pelbagai faktor, antaranya trend harga pasaran arang batu dan gas yang didapati sudah stabil berbanding beberapa tahun lepas, sebelum menyelaraskannya.
- “Oleh itu, menjawab soalan tentang bila kita nak buat (penyelarasan), insya Allah dalam masa terdekat kita umumkan, bagi masa. Saya pun belum bincang dengan Kabinet,” katanya selepas merasmikan Persidangan Hidrogen Hijau Asean (ASEANGH2) 2023 di sini.
KUALA LUMPUR: Penyelarasan tarif elektrik untuk pengguna domestik golongan berpendapatan tinggi (T20) akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ini kerana katanya, kerajaan perlu melihat pelbagai faktor, antaranya trend harga pasaran arang batu dan gas yang didapati sudah stabil berbanding beberapa tahun lepas, sebelum menyelaraskannya.
“Sebelum ini, kita sudah lama kekang harga itu (bahan api arang dan gas) pada harga sangat rendah…itu sebab peningkatan tarif agak drastik. Jadi, itu satu faktor yang kena diambil kira.
“Oleh itu, menjawab soalan tentang bila kita nak buat (penyelarasan), insya Allah dalam masa terdekat kita umumkan, bagi masa. Saya pun belum bincang dengan Kabinet,” katanya selepas merasmikan Persidangan Hidrogen Hijau Asean (ASEANGH2) 2023 di sini.
Beliau berkata, penyelarasan akan dibuat berdasarkan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan, bermula Julai hingga Disember ini.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, golongan T20 tidak akan menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik serta bantuan kewangan haji.
Mengenai kos keseluruhan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berjumlah RM10.9 bilion, Nik Nazmi berkata kerajaan jimat lebih RM4 bilion berbanding RM15 bilion yang diumumkan kerajaan terdahulu.
Beliau berkata, penjimatan itu dicapai susulan kaedah perolehan lebih baik dilaksanakan kerajaan menerusi tender terbuka.
“Proses terbaharu ini (dan) cara baharu dipercepatkan macam prakelayakan. Kalau nak buat sama ada reka bentuk binaan atau tender terbuka konvensional, ia akan makan masa sangat lama. Lagipun, pihak pembangkang juga bertanya bila nak mula projek RTB dan kita pun tahu projek ini sangat penting untuk rakyat, jadi kita nak percepatkan.”
Mengenai ASEANGH2, Nik Nazmi percaya negara Asean berpotensi menjadi hab hidrogen hijau terkemuka kerana mempunyai banyak sumber tenaga boleh diperbaharui dan lokasi strategik.
Beliau berkata, menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (Irena), Asean berpotensi menjana lebih 800 gigawatt (GW) tenaga solar, 300GW tenaga angin dan 200GW kuasa hidro.
Katanya, sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak di rantau ini memberi kelebihan daya saing untuk menghasilkan hidrogen hijau, yang memerlukan sejumlah besar tenaga elektrik boleh diperbaharui.
“Kita juga bertuah berada dalam kedudukan strategik untuk mengeksport hidrogen hijau ke negara lain, di mana Asean mempunyai akses kepada laluan perkapalan utama, yang boleh digunakan untuk mengangkut hidrogen hijau ke pasaran di Asia, Eropah dan rantau lain, di samping berada berdekatan pusat permintaan utama hidrogen hijau, seperti Jepun, Korea Selatan dan China.
“Ia akan menjadi pembaziran besar, jika kita sebagai Asean, gagal mengambil peluang ini untuk bekerjasama dan menjadi hab hidrogen hijau utama di pasaran global,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today