Terkini
Ahli Parlimen diingatkan tidak biarkan diri ‘dilobi’ industri vape – Pakar Perubatan
Semua Ahli Parlimen (MP) diingatkan tidak membiarkan diri mereka ‘dilobi’ industri vape yang berasaskan keuntungan semata-mata kerana kuasa meneruskan akta untuk melindungi kanak-kanak, remaja dan generasi akan datang berada di tangan mereka.
- Semua Ahli Parlimen (MP) diingatkan tidak membiarkan diri mereka ‘dilobi’ industri vape yang berasaskan keuntungan semata-mata kerana kuasa meneruskan akta untuk melindungi kanak-kanak, remaja dan generasi akan datang berada di tangan mereka.
- Pakar Perubatan Keluarga PPUM dan Ahli Nicotine Addiction Research UM, Dr Amirul Amzar berkata demikian ketika mengulas hasil perbincangan beliau bersama wakil industri vape dalam satu program terbitan Sinar Harian.
- Tiga kesimpulan itu adalah industri vape hanya memikirkan soal keuntungan; industri vape tiada kepedulian tentang data dan kebanyakan andaian mereka berasaskan persepsi dan ketiga; industri tidak mahu kehilangan sumber perniagaan dengan pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG).
KUALA LUMPUR — Semua Ahli Parlimen (MP) diingatkan tidak membiarkan diri mereka ‘dilobi’ industri vape yang berasaskan keuntungan semata-mata kerana kuasa meneruskan akta untuk melindungi kanak-kanak, remaja dan generasi akan datang berada di tangan mereka.
Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Ahli Nicotine Addiction Research UM, Dr Amirul Amzar berkata demikian ketika mengulas hasil perbincangan beliau bersama wakil industri vape dalam satu program terbitan Sinar Harian.
Merumus jawapan dari wakil industri terbabit, Dr Amirul berkata terdapat tiga kesimpulan dapat dibuat daripada perbincangan itu.
Tiga kesimpulan itu adalah industri vape hanya memikirkan soal keuntungan; industri vape tiada kepedulian tentang data dan kebanyakan andaian mereka berasaskan persepsi dan ketiga; industri tidak mahu kehilangan sumber perniagaan dengan pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG).
“Dengan tiga kesimpulan ini, menteri-menteri kena tanya diri masing-masing, wajarkah membiarkan industri melobi usul kawalan tembakau negara?
“Apatah lagi bila wakil industri cakap macam ini semalam (19 Mei 2023)… “Kami sokong kawal selia, tapi kami tak sokong GEG”,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Ahad.
Dr Amirul Amzar yakin menteri yang melihat kepada kelestarian dan kesejahteraan rakyat Malaysia akan sedar tujuan sebenar industri tidak menyokong GEG kerana rakyat sendiri melihat helah mereka.
Sebelum ini, beliau turut menggesa Ahli Parlimen mengadakan resolusi kawalan jualan vape dan rokok untuk pengguna sedia ada serta undang-undang yang menghalang rakyat Malaysia daripada terus terjebak dalam penagihan rokok, nikotin dan vape.
Beliau yang juga Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3) berkata, semua Ahli Parlimen perlu mengadakan resolusi untuk mengawal permasalahan di atas dan mewujudkan undang-undang berkaitan dua perkara utama tersebut. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Medical Mythbusters Malaysia