Antarabangsa
16 terbunuh akibat pertelagahan puak di Pakistan
Sekurang-kurangnya 16 individu terbunuh dalam perbalahan terbaru berhubung pertikaian tanah antara dua puak sejak puluhan tahun di barat laut Pakistan.
- Sekurang-kurangnya 16 individu terbunuh dalam perbalahan terbaru berhubung pertikaian tanah antara dua puak sejak puluhan tahun di barat laut Pakistan.
- Menurut polis, puak Akhorwal melepaskan tembakan ke arah puak Suni Khel dari kawasan tinggi kelmarin, selepas puak Suni Khel menandakan sempadan di kawasan pergunungan Darra Adam Khel, kurang 100 kilometer (km) dari sempadan Afghanistan.
- “Kedua-dua puak dilengkapi senjata api berat, dan dalam tempoh beberapa minit, pertempuran ganas itu menyebabkan jumlah kematian yang tinggi,” kata pegawai kanan polis, Farhan Khan.
- Menurutnya, pertempuran itu berlaku susulan kegagalan majlis pimpinan puak dikenali sebagai jirga, mencapai jalan penyelesaian berhubung pertikaian antara mereka.
PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 16 individu terbunuh dalam perbalahan terbaru berhubung pertikaian tanah antara dua puak sejak puluhan tahun di barat laut Pakistan.
Menurut polis, puak Akhorwal melepaskan tembakan ke arah puak Suni Khel dari kawasan tinggi kelmarin, selepas puak Suni Khel menandakan sempadan di kawasan pergunungan Darra Adam Khel, kurang 100 kilometer (km) dari sempadan Afghanistan.
“Kedua-dua puak dilengkapi senjata api berat, dan dalam tempoh beberapa minit, pertempuran ganas itu menyebabkan jumlah kematian yang tinggi,” kata pegawai kanan polis, Farhan Khan.
Menurutnya, pertempuran itu berlaku susulan kegagalan majlis pimpinan puak dikenali sebagai jirga, mencapai jalan penyelesaian berhubung pertikaian antara mereka.
Sementara itu, jurucakap polis tempatan, Fazal Naeem, memaklumkan pertempuran itu menyebabkan 12 individu dari puak Suni Khel dan empat individu dari puak Akhorwal terbunuh, manakala empat lagi individu cedera.
Pergaduhan antara puak kerap berlaku di Pakistan, namun ia boleh bertukar ganas jika membabitkan penduduk di wilayah pergunungan di barat laut Pakistan di mana masyarakatnya terikat pada kod kehormatan.
Menurut polis, keadaan di kawasan Darra Adam Khel kini kembali terkawal sejak pertempuran itu selepas campur tangan jirga.
Sebelum ini, Darra Adam Khel berada di bawah Kawasan Puak Pentadbiran Persekutuan (FATA), wilayah separa autonomi di barat laut Pakistan, sebelum ia digabungkan dengan wilayah Khyber Pakhtunkhwa pada 2018, sekali gus kini berada di bawah perundangan dan pentadbiran kerajaan pusat.
Sumber: Berita Harian