Terkini
Kerajaan dituntut beri penjelasan rayuan kes kalimah Allah ditarik balik – Zainul Rijal
Kerajaan dituntut memberi penjelasan sama ada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang diberikan hak oleh mahkamah menjadi amicus curae (sahabat mahkamah) dalam kes kalimah Allah dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil kerajaan.
- Kerajaan dituntut memberi penjelasan sama ada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang diberikan hak oleh mahkamah menjadi amicus curae (sahabat mahkamah) dalam kes kalimah Allah dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil kerajaan.
- Tuntutan itu dibuat Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan susulan dimaklumkan Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik semula rayuan mereka dalam kes mahkamah tersebut pada 18 April lalu.
- “Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan sangat kesal, terkilan dan dukacita dengan tindakan dilakukan tersebut kerana ia juga tidak selari dengan hasrat penghakiman kes kalimah Allah terdahulu iaitu dalam kes Titutar Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur,” kata Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
KUALA LUMPUR — Kerajaan dituntut memberi penjelasan sama ada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang diberikan hak oleh mahkamah menjadi amicus curae (sahabat mahkamah) dalam kes kalimah Allah dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil kerajaan.
Tuntutan itu dibuat Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan susulan dimaklumkan Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan kerajaan Malaysia menarik semula rayuan mereka dalam kes mahkamah tersebut pada 18 April lalu.
Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata ia merujuk kepada kes Jill Ireland binti Lawrence Bill di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain digunakan individu bukan Islam dalam agama mereka.
“Atas tindakan dan arahan Kerajaan ini, penjelasan penuh perlu diberikan berkaitan dengan tindakan ini oleh pihak Kerajaan kenapa terdapat perbezaan tindakan yang tidak dimaklumkan kepada masyarakat Islam juga.
“Kami juga mohon penjelasan sama ada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang telah diberikan hak oleh mahkamah menjadi amicus curae (sahabat mahkamah) dalam kes ini dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil oleh Kerajaan?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, di negeri Selangor misalnya mempunyai undang-undang negeri menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu, termasuk kalimah Allah yang diluluskan Dewan Negeri Selangor dan diperkenan Sultan Selangor.
Beliau berkata sebagai Ketua Agama Negeri yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa budi bicara sebagai Ketua Agama Negeri di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan penarikan balik secara unilateral ini secara khususnya menjejaskan kuasa Sultan Selangor.
“Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan sangat kesal, terkilan dan dukacita dengan tindakan dilakukan tersebut kerana ia juga tidak selari dengan hasrat penghakiman kes kalimah Allah terdahulu iaitu dalam kes Titutar Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur,” katanya.
Zainul Rijal turut memaklumkan Peguam Kanan Persekutuan dengan tegas selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan keputusan pada 10 Mac 2021 menyatakan Mahkamah terkhilaf membuat keputusan itu dan pihak kerajaan merayu ke atasnya.
“Terdapat juga laporan menyatakan beberapa pihak mendesak pihak kerajaan menarik semula rayuan tersebut,” katanya.
Kes kalimah Allah itu bermula beberapa belas tahun lalu apabila Jill Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan CD (cakera padat) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’.
Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.
Susulan itu, sekitar Mac 2021, kerajaan dan KDN memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan. — The Merdeka Times