Connect with us

Antarabangsa

BJP hilang kuasa di Karnataka, tamparan buat politik pecah belah Modi di India

Parti Kongres selaku pembangkang di India memenangi majoriti besar pilihan raya negeri Karnataka, memberikan tamparan kepada parti pemerintah Narendra Modi yang berjuang keras untuk mengekalkan kuasa, demikian lapor The Guardian.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Ruszaini Ruslan

Published

on

BJP hilang kuasa di Karnataka, tamparan buat politik pecah belah Modi di India
Foto: Parti Kongres.
  • Parti Kongres memenangi majoriti besar pilihan raya negeri Karnataka menewaskan parti Bharatiya Janata (BJP) selaku penyandang terdahulu, demikian hasil pengiraan undi pada Sabtu lalu.
  • “Orang ramai telah menolak politik yang memecahbelahkan,” – Jurucakap parti Kongres, Pawan Khera.
  • Karnataka adalah satu-satunya kubu kuat BJP demi menghadapi pilihan raya umum.
  • Kongres sebelum ini mempunyai rekod buruk memenangi pilihan raya negeri sejak Narendra Modi berkuasa pada 2014.

Parti Kongres selaku pembangkang di India memenangi majoriti besar pilihan raya negeri Karnataka, memberikan tamparan kepada parti pemerintah Narendra Modi yang berjuang keras untuk mengekalkan kuasa, demikian lapor The Guardian.

Ketika pengiraan undi pada Sabtu lalu, ternyata jumlah undian di negeri itu memihak kepada Kongres, menewaskan parti Bharatiya Janata (BJP) selaku penyandang terdahulu.

“Orang ramai telah menolak politik yang memecahbelahkan,” kata jurucakap parti Kongres, Pawan Khera.

Pilihan raya di Karnataka yang menempatkan 65 juta orang dilihat sebagai penggerak penting menjelang pilihan raya umum tahun depan, apabila Modi mahu mempertahankan kuasanya bagi penggal ketiga

BJP aktif berkempen demi mempertahankan negeri yang telah disandang sejak 2018 itu.

Karnataka adalah satu-satunya kubu kuat parti itu di selatan India dan dilihat sebagai batu loncatan penting demi mencapai cita-cita politiknya di negeri Telangana dan Tamil Nadu, yang mana setakat ini sebahagian besarnya menentang BJP.

Dalam usaha untuk memenangi undi, parti itu meletakkan Modi di barisan hadapan kempennya.

Bagaimanapun, usaha BJP yang berkempen dengan lebih 9,000 perhimpunan itu tidak mampu mengatasi dakwaan rasuah terhadap kerajaan negeri BJP dan kekecewaan terhadap peningkatan inflasi serta kekurangan peluang pekerjaan baharu di Bengaluru.

Kasta Lingayat yang dominan di negeri itu juga dilihat menarik balik sokongan selepas beberapa pemimpin lama tidak diberi tiket untuk bertanding.

Perkara itu menjadi kejayaan besar bagi Kongres yang mempunyai rekod buruk memenangi pilihan raya negeri sejak Modi berkuasa pada 2014, dengan hanya tiga negeri lain di bawah kawalannya.

Kemenangan itu memberikan rangsangan menjelang pilihan raya umum di mana ia akan menentang BJP di peringkat kebangsaan.

Sumber: The Guardian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *