Connect with us

Antarabangsa

Pasangan warga asing dari Australia kongsi di Youtube mengapa Malaysia wajib dikunjungi!

Lambakan pelancong asing di negara kita cukup membuktikan betapa Malaysia merupakan destinasi menarik di mata pelancong. Sebagai rakyat Malaysia sendiri, kita sememangnya sedar akan keistimewaan negara kita sendiri. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Ruszaini Ruslan

Published

on

Pasangan warga asing dari Australia kongsi di Youtube mengapa Malaysia wajib dikunjungi!
Foto: Penggiat Youtube dari Australia, Jimmy Mitchell dan Pauline Mitchell. 
  • Pasangan suami isteri, Jimmy Mitchell dan Pauline Mitchel yang merupakan penggiat Youtube menyenaraikan beberapa sebab mengapa warga dunia perlu melancong ke Malaysia.
  • Mereka berbuat demikian menerusi satu video berjudul “Why Malaysia is World’s most underrated country (Everyone Should Visit!)” di saluran Youtube mereka, Mitch’s On The Horizon.
  • Video yang dimuat naik bulan lalu itu kini sudah menerima lebih 127,000 tontonan.

KUALA LUMPUR – Lambakan pelancong asing di negara kita cukup membuktikan betapa Malaysia merupakan destinasi menarik di mata pelancong. Sebagai rakyat Malaysia sendiri, kita sememangnya sedar akan keistimewaan negara kita sendiri. 

Namun, pernahkah kita melihat Malaysia dari sudut pandang seorang pelancong asing dan apakah yang begitu menarik perhatian mereka untuk melawat negara kita? 

Perkara itu didedahkan pasangan suami isteri penggiat Youtube dari Australia, Jimmy Mitchell dan Pauline Mitchell. 

Menerusi saluran Youtube mereka, Mitch’s On The Horizon, mereka menyenaraikan mengapa warga asing perlu melancong ke Malaysia. Video berjudul “Why Malaysia is World’s most underrated country (Everyone Should Visit!)” itu dimuat naik bulan lalu itu kini sudah menerima lebih 127,000 tontonan.

Malaysia ‘tidak sempurna’

Siapa sangka ketidak sempurnaan boleh dianggap sebagai sesuatu yang positif. Bagi pasangan ini, perkara itu menjadikan pengembaraan di Malaysia lebih menarik dan realistik. 

Peraturan yang tidak terlalu ketat membuatkan mereka dapat menikmati hampir semua aktiviti. Mereka menceritakan pengalaman mereka menaiki ATV di Balik Pulau bersama anak mereka. 

Menurut mereka, sebahagian negara yang mereka lawati tidak membenarkan kanak-kanak untuk menaiki kenderaan itu. 

Oleh itu, mereka bersyukur apabila anak mereka dapat merasai pengalaman manis itu di sini kerana peraturan yang tidak begitu tegas. Tambah mereka, ketidak sempurnaan itu lah yang mencipta suatu kesempurnaan. 

Ia tidak menjadikan Malaysia begitu teruk sehingga tidak boleh didiami, namun tidak juga terlalu sempurna sehingga menyekat suasana yang menyeronokkan.

Kemesraan rakyat 

Rakyat Malaysia sangat mesra dan menghormati orang lain, demikian satu lagi perkara yang menambat hati pasangan ini. 

Bagi mereka, masyarakat Islam yang besar serta kepelbagaian latar budaya dan bangsa di negara ini menjadikan nilai hormat-menghormati itu sudah sebati dalam setiap individu. 

Sepanjang pengalaman mereka berada di negara ini, rakyat Malaysia sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan jika mereka memerlukannya.

Kelazatan makanan 

Keunikan dan kepelbagaian makanan Malaysia tidak dapat dinafikan antara keistimewaan utama yang menarik perhatian pelancong asing. 

Disebabkan kepelbagaian budaya, bagi mereka makanan Malaysia berada di tahap berbeza jika dibandingkan dengan makanan di negara Asia lain yang pernah mereka lawati. 

Di sini, mereka boleh menikmati makanan gabungan citarasa Cina-India ataupun Melayu-India dan banyak lagi. 

Selain itu, mereka turut kagum bagaimana satu restoran di Malaysia boleh menyajikan sehingga lima jenis masakan seperti tempatan, Barat, India dan lain-lain dengan begitu baik. 

Perkara ini sangat memudahkan kerana jika setiap dari ahli keluarga mereka menginginkan juadah yang berbeza, mereka boleh mendapatkannya di satu tempat sahaja. Mereka boleh melihat bagaimana rakyat Malaysia meletakkan lebih usaha dalam penyediaan makanan.

Pelbagai aktiviti keluarga

Pasangan ini menganggap Malaysia ialah ‘destinasi keluarga’. Pelbagai aktiviti mesra keluarga yang moden, menyeronokkan, dan bertenaga ada di sini seperti taman tema air. 

Bagi pencinta alam semula jadi pula, Tanah Tinggi Cameron dan Bukit Bendera adalah antara destinasi yang patut dipertimbangkan. 

Jika yang hanya mahu bersantai dan bertenang pula, bolehlah memilih dari pelbagai jenis pusat peranginan yang ada di sini.

Kualiti udara

Pasangan mempunyai dua cahaya mata ini sangat menitik beratkan kualiti udara di suatu negara bagi melindungi kesihatan anak mereka ketika melancong. 

Bagi mereka, kualiti udara di Malaysia merupakan salah satu yang terbaik di Asia Tenggara dan di dunia. 

Malah, keadaan udara di sini juga dikatakan tidak jauh berbeza dengan udara di negara asal mereka, iaitu Australia. 

Sebagai ibu bapa, mereka tidak mahu kesihatan anak mereka terjejas gara-gara kualiti udara teruk, sekaligus menganggu percutian mereka.

Ramai boleh berbahasa Inggeris

Walaupun rakyat Malaysia bukanlah penutur asli bahasa Inggeris, namun ramai yang boleh memahami dan bertutur bahasa itu. 

Pengetahuan asas terhadap bahasa itu sudah cukup untuk memudahkan urusan mereka sebagai penutur asli Inggeris di negara ini. 

Mereka turut berkongsi betapa lecehnya urusan mereka melawat negara lain yang tidak mampu berkomunikasi dengan bahasa itu walaupun dengan ayat paling asas. 

Namun, masalah itu tidak dihadapi di Malaysia.

‘Pusat’ Asia Tenggara

Mungkin sesetengah pelancong menganggap Singapura adalah pusat Asia Tenggara. 

Namun dengan kos hidup yang lebih tinggi, pasangan ini tidak mempersetujui perkara itu. 

Bagi mereka, Kuala Lumpur lebih sesuai sebagai pusat Asia Tenggara dengan kos hidup yang lebih rendah. 

Harga tiket penerbangan untuk melawat negara lain di Asia Tenggara dari Kuala Lumpur juga jauh itu lebih murah. 

Oleh itu, mereka menyarankan para pengembara lain untuk berpusat di ibu negara itu jika bercadang untuk melawat negara-negara Asia Tenggara.

Kos hidup rendah, namun selesa

Kos menyewa penginapan selesa selama sebulan di Kuala Lumpur hanya menelan kira-kira separuh dari kos yang biasa mereka belanjakan di Australia. 

Walaupun begitu, mereka berkata kualiti kehidupan yang mereka alami tidak sedikit pun terjejas meskipun kosnya berkurang. 

Di sesetengah negara Asia Tenggara lain, kualiti hidup mungkin sedikit terjejas dengan kos sedemikian. 

Namun tidak di Malaysia yang masih dilengkapi dengan kemudahan capaian internet yang baik, penjagaan kesihatan yang baik dan jalan raya yang baik.

Kemudahan servis penghantaran

Mungkin perkara ini dianggap biasa bagi rakyat Malaysia, namun tidak bagi warga Australia seperti mereka. 

Dari surat dan barangan, makanan hinggalah barangan dapur, kesemuanya boleh dihantar sehingga ke pintu rumah dalam masa sejam. 

Mereka tidak menyedari betapa mahalnya caj penghantaran di negara mereka sehinggalah mereka menikmati caj penghantaran barangan dapur kurang dari A$1 (RM3.01) di Malaysia. 

Di Australia, penghantaran barangan dapur biasanya dikenakan caj sekitar A$30 (RM 90.27) ke A$40 (120.35), itupun memakan masa yang lama untuk dihantar. 

Hal demikianlah antara sebab mengapa pasangan ini sangat menyarankan warga dunia untuk melawat Malaysia. – The Merdeka Times

Sumber: Youtube Mitch’s On The Horizon

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *