Antarabangsa
9 maut angkara serangan udara Israel di Gaza
Sekurang-kurangnya sembilan orang maut di Semenanjung Gaza akibat serangan udara dilancarkan Israel terhadap kubu Hamas, menurut Kementerian Kesihatan.
- Sekurang-kurangnya sembilan orang maut di Semenanjung Gaza akibat serangan udara dilancarkan Israel terhadap kubu Hamas, menurut Kementerian Kesihatan.
- Kakitangan perubatan mengesahkan sekurang-kurangnya sembilan warga Palestin terbunuh termasuk tiga orang awam, dan beberapa yang lain cedera.
- Tentera Israel mengumumkan ia melancarkan serangan pada awal pagi tadi menyasarkan kubu kumpulan Jihad Islam, terutama tiga komander kanan kumpulan bersenjata kedua paling kuat di kawasan dikuasai Hamas itu.
- Seorang wartawan AFP melaporkan melihat bahagian atas sebuah bangunan terbakar selepas serangan itu dan ambulans membawa keluar mangsa yang cedera.
- Serangan udara itu adalah keganasan terbaru dalam konflik lebih setahun yang menyaksikan peningkatan keganasan tentera Israel peneroka haram warga Israel di Tebing Barat yang diduduki.
BANDAR GAZA: Sekurang-kurangnya sembilan orang maut di Semenanjung Gaza akibat serangan udara dilancarkan Israel terhadap kubu Hamas, menurut Kementerian Kesihatan.
Kakitangan perubatan mengesahkan sekurang-kurangnya sembilan warga Palestin terbunuh termasuk tiga orang awam, dan beberapa yang lain cedera.
Tentera Israel mengumumkan ia melancarkan serangan pada awal pagi tadi menyasarkan kubu kumpulan Jihad Islam, terutama tiga komander kanan kumpulan bersenjata kedua paling kuat di kawasan dikuasai Hamas itu.
Seorang wartawan AFP melaporkan melihat bahagian atas sebuah bangunan terbakar selepas serangan itu dan ambulans membawa keluar mangsa yang cedera.
Sementara itu, sumber Jihad Islam memaklumkan, antara yang terbunuh adalah tiga komander kanan kumpulan itu, termasuk Jihad Ghammam dan isterinya.
Video memaparkan letupan kuat yang menggegarkan Gaza kini tersebar di media sosial, menunjukkan kebakaran di beberapa bangunan dan kepulan asap di ruang udara Bandar Gaza.
Serangan udara itu adalah keganasan terbaru dalam konflik lebih setahun yang menyaksikan peningkatan keganasan tentera Israel peneroka haram warga Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Ketegangan itu turut menyaksikan serangan balas penduduk Palestin menyasarkan warga Israel, menyebabkan sekurang-kurangnya 19 warga Israel dan lebih 90 warga Palestin maut sejak Januari lalu.
Unit Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal awam dengan penduduk Palestin, COGAT, berkata dua lintasan Gaza ditutup kepada laluan orang awam dan barangan sehingga dimaklumkan kelak.
Menjangkakan serangan balas Palestin susulan serangan udara Israel, tentera Israel mengeluarkan arahan khas kepada warga Israel yang tinggal dalam lingkungan 40 kilometer (km) dari Gaza.
Mereka diminta berada berhampiran kubu perlindungan bom antara jam 2.30 pagi hari ini hingga 6 petang waktu tempatan Khamis ini.
Sumber: Berita Harian