Antarabangsa
WFP gantung bantuan makanan kepada rakyat Palestin
Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa menggantung bantuan makanan kepada lebih 200,000 rakyat Palestin, mulai bulan depan.
- Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa menggantung bantuan makanan kepada lebih 200,000 rakyat Palestin, mulai bulan depan.
- Keluarga di Gaza, kawasan mencatatkan isu sekuriti makanan dan kemiskinan paling tinggi antara golongan paling teruk terjejas, selain penduduk di Tebing Barat.
- Pengarah WFP Palestin, Samer Abdeljaber, berkata keputusan itu terpaksa dibuat susulan kekurangan dana sangat teruk dan terhad dengan golongan terjejas mewakili 60 peratus daripada keseluruhan kes dari Jun.
- Rekod Palestin dan PBB mendapati, Gaza memiliki populasi seramai 2.3 juta orang dan 45 peratus daripadanya menganggur, selain 80 peratus bergantung kepada bantuan antarabangsa.
GAZA: Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa menggantung bantuan makanan kepada lebih 200,000 rakyat Palestin, mulai bulan depan.
Keluarga di Gaza, kawasan yang mencatatkan isu sekuriti makanan dan kemiskinan paling tinggi menjadi antara golongan paling teruk terjejas, selain penduduk di Tebing Barat.
WFP menawarkan baucar bulanan bernilai $10.30 (RM45.70) dan bakul makanan kepada warga Palestin dan kedua-dua bantuan berkenaan akan terjejas susulan ketetapan terbaharu itu.
Pengarah WFP Palestin, Samer Abdeljaber, berkata keputusan itu terpaksa dibuat susulan kekurangan dana yang sangat teruk dan terhad dengan golongan terjejas mewakili 60 peratus daripada keseluruhan kes dari Jun.
Beliau berkata, WFP akan terus mengagihkan bantuan kepada 140,000 penduduk Gaza dan Tebing Barat, selain menjelaskan keputusan penggantungan itu dibuat bagi menyelamatkan golongan rentan yang tidak berkemampuan untuk mendapat akses makanan.
Bagaimanapun, katanya, kuat kuasa penggantungan itu boleh dianjakkan ke Ogos depan, jika pihaknya menerima bantuan kewangan.
“Kita faham implikasi keputusan sukar yang tak dapat dielakkan ke atas ratusan ribu orang yang bergantung kepada bantuan makanan untuk keperluan asas mereka,” katanya.
Rekod Palestin dan PBB mendapati Gaza memiliki populasi seramai 2.3 juta orang dan 45 peratus daripadanya menganggur, selain 80 peratus bergantung kepada bantuan antarabangsa.
Sumber: Berita Harian