Connect with us

Antarabangsa

Lelaki berpakat kongsi isteri untuk dirogol dihukum penjara 29 tahun dengan sebatan

Mahkamah Tinggi Singapura semalam menjatuhkan hukuman penjara 29 tahun dan 24 kali sebatan kepada seorang lelaki yang merupakan pesalah utama dalam kes perkongsian isteri untuk dirogol.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Mahkamah Tinggi Singapura semalam menjatuhkan hukuman penjara 29 tahun dan 24 kali sebatan kepada seorang lelaki yang merupakan pesalah utama dalam kes perkongsian isteri untuk dirogol.
  • Dia berpakat dengan enam lelaki lain sejak lapan tahun lalu untuk merogol isteri dan bekas isteri masing-masing sesama sendiri.
  • Mereka saling berkenalan seawal 2010 menerusi forum atas talian Sammyboy dan platform lain berkenaan fantasi perkongsian isteri.

Mahkamah Tinggi Singapura semalam menjatuhkan hukuman penjara 29 tahun dan 24 kali sebatan kepada seorang lelaki yang merupakan pesalah utama dalam kes perkongsian isteri untuk dirogol.

Memetik laporan CNA, dia yang merupakan pegawai keselamatan berusia 42 tahun itu berpakat dengan lima lelaki lain sejak lapan tahun lalu untuk merogol isterinya yang diberi ubat pelali.

Selain itu, tertuduh juga berpakat dengan dua lelaki untuk merogol isteri dan bekas isteri mereka.

Identiti kesemua pihak dalam kes ini tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah.

Lelaki itu, dinamakan sebagai J, menghadapi pertuduhan paling banyak dalam kalangan pesalah.

J mengaku bersalah atas lima pertuduhan bersubahat melakukan rogol dan satu pertuduhan serangan seksual.

11 lagi pertuduhan sedang dipertimbangkan.

Dia sebelum ini diwakili dua kumpulan peguam berbeza tetapi menggugurkan mereka dan membela dirinya sendiri.

Foto: Infografik kes.

J yang telah berkahwin pada 2008 dan mempunyai empat orang anak itu mengajak isterinya untuk melakukan hubungan seks secara bertiga, namun ditolak.

Oleh itu, dia merancang agar lelaki lain dapat menyertai hubungan seks mereka tanpa disedari isterinya.

Dia menemui enam rakan sekongkolnya seawal 2010 menerusi forum atas talian Sammyboy dan platform lain berkenaan fantasi perkongsian isteri.

Antara 2009 dan 2010, J bertemu rakan komplotnya, iaitu O dan K, di platform tersebut.

Antara 2010 dan 2011, J berpura-pura memberi ubat kepada isterinya yang mengadu tidak sihat, namun menyelitkan ubat penenang yang mengakibatkan isterinya tidak sedarkan diri.

J kemudian mengundang O datang ke rumahnya untuk merogol isterinya itu ketika seisi rumah yang lain sedang tidur.

Menurut pihak pendakwaan, J mengakui berasa bersalah, namun terangsang menyaksikan perlakuan itu.

Selepas kejadian itu, J berpakat dengan lelaki lain untuk melakukan perkara yang sama terhadap isterinya.

Dia juga ‘diizinkan’ untuk merogol isteri dan bekas isteri dua rakan sekongkolnya itu.

Aktiviti jijik itu terbongkar pada Januari 2020 apabila isteri J bangun awal pada suatu pagi dan terlihat satu video sedang dimainkan di telefon J yang masih tidur.

Dia melihat imej lucah dirinya dalam satu perbualan Skype bersama K.

Menerusi perbualan itulah dia mendapati yang mereka telah saling bertukar isteri untuk seks.

Berang dengan penemuan itu, dia langsung menampar J yang masih tidur dan menyuruh suaminya itu untuk membawanya ke rumah K.

Kesemua lelaki dalam pakatan itu kemudian ditahan polis.

Empat daripada mereka, iaitu K, L, M dan N dijatuhkan hukuman penjara antara 13 tahun setengah dan 22 tahun pada November tahun yang sama.

Tiga daripada mereka turut dijatuhkan hukuman 20 sebatan, manakala yang keempat tidak kerana dia berusia lebih 50 tahun.

Lelaki keenam, P sudah dijatuhkan hukuman lebih awal, iaitu pada Januari 2022.

Kes untuk lelaki terakhir, O, masih belum selesai.

J kini menerima rawatan psikiatri dan kaunseling di penjara.

Sumber: CNA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *