Terkini
Pembebasan Najib tonjol imej tidak baik terhadap kerajaan – BERJASA
Usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Pengampunan Diraja hanya akan menonjolkan imej tidak baik terhadap kepimpinan kerajaan hari ini.
- Usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Pengampunan Diraja hanya akan menonjolkan imej tidak baik terhadap kepimpinan kerajaan hari ini.
- Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, usaha pembebasan itu juga tidak wajar, memandangkan Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah.
- Justeru, jika pembebasan tanpa menerima hukuman penuh terus dilakukan, kerajaan bakal dilihat sebagai hipokrit dan dwi standard dalam melaksanakan undang-undang, katanya.
- “Rakyat biasa jika sabit kesalahan, tiada siapa yang peduli. Hukuman dijatuhkan begitu cepat, tetapi jika pihak tertentu, pelbagai cara dan alasan digunakan untuk mendapatkan pembebasan termasuk menggugurkan hukuman mahkamah,” katanya.
BANGI, 11 Syawal 1444H, Selasa – Usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Pengampunan Diraja hanya akan menonjolkan imej tidak baik terhadap kepimpinan kerajaan hari ini.
Ketua Penerangan BERJASA, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, usaha pembebasan itu juga tidak wajar, memandangkan Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah.
Justeru, jika pembebasan tanpa menerima hukuman penuh terus dilakukan, kerajaan bakal dilihat sebagai hipokrit dan dwi standard dalam melaksanakan undang-undang, katanya.
“Rakyat biasa jika sabit kesalahan, tiada siapa yang peduli. Hukuman dijatuhkan begitu cepat, tetapi jika pihak tertentu, pelbagai cara dan alasan digunakan untuk mendapatkan pembebasan termasuk menggugurkan hukuman mahkamah.
“Berkemungkinan besar selepas ini, rakyat tidak akan mempercayai lagi kepimpinan kerajaan sekarang dengan laungan integriti kedaulatan undang-undang dan lain-lain,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Parti Amanah, Khalid Samad dilapor mengeluarkan kenyataan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap Najib.
Beliau dalam satu kenyataan lain kemudian berkata, UMNO perlu menghormati pendirian Amanah berhubung isu pengampunan Najib dan mendakwa perkara itu tidak seharusnya menjejaskan kesepakatan Kerajaan Perpaduan.
Bersetuju dengan bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu, Mohd Hamdan berkata, kenyataan Khalid dilihat ada asasnya kerana ia membabitkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.
“Ironi, Parti Keadilan dalam kerajaan juga tidak mampu membawa ‘keadilan’ dengan konsisten.
“Kita berharap agar institusi kehakiman di bawah kerajaan kini terus diberikan kebebasan untuk menegakkan undang-undang dalam memartabatkan keadilan ke kedudukan yang lebih tinggi,” katanya.
Sumber: Ismaweb