Antarabangsa
UNSC kutuk larangan wanita Afghanistan bekerja dengan PBB
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam sebulat suara mengutuk pentadbiran Taliban yang melarang wanita Afghanistan bekerja untuk PBB di negara itu.
- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam sebulat suara mengutuk pentadbiran Taliban melarang wanita Afghanistan bekerja untuk PBB di negara itu.
- Sehubungan itu, mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menggesa pemimpin Taliban segera menarik balik arahan itu, disifatkan sebagai tindakan keras lagi menindas terhadap wanita.
- Pertubuhan itu turut menegaskan, peranan penting wanita dalam masyarakat Afghanistan dan menyifatkan larangan ke atas wanita Afghanistan bekerja untuk PBB sebagai mencabuli hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan.
- Duta Besar UAE , Lana Nusseibeh, berkata lebih 90 negara terbabit sebagai penaja resolusi itu, ia meliputi kawasan kejiranan terdekat Afghanistan, dunia Islam global.
- “Sokongan sebegini menjadikan mesej asas kami hari ini lebih penting, dunia juga tidak akan berdiam diri apabila wanita di Afghanistan dipinggirkan daripada masyarakat,” katanya.
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam sebulat suara mengutuk pentadbiran Taliban yang melarang wanita Afghanistan bekerja untuk PBB di negara itu.
Sehubungan itu, mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menggesa pemimpin Taliban segera menarik balik arahan itu, yang disifatkan sebagai tindakan keras lagi menindas terhadap wanita.
Resolusi itu, yang dirangka Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jepun, memberi gambaran bahawa sekatan sedemikian belum pernah berlaku dalam sejarah PBB.
Pertubuhan itu turut menegaskan, ‘peranan penting wanita dalam masyarakat Afghanistan’ dan menyifatkan larangan ke atas wanita Afghanistan bekerja untuk PBB sebagai mencabuli hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan.
Duta Besar UAE untuk PBB, Lana Nusseibeh, berkata lebih 90 negara terbabit sebagai penaja resolusi itu, ia meliputi kawasan kejiranan terdekat Afghanistan, dunia Islam global.
“Sokongan sebegini menjadikan mesej asas kami hari ini lebih penting, dunia juga tidak akan berdiam diri apabila wanita di Afghanistan dipinggirkan daripada masyarakat,” katanya kepada majlis itu.
Undian bagi UNSC dibuat beberapa hari sebelum mesyuarat antarabangsa yang dirancang di Doha pada 1 hingga 2 Mei ini mengenai Afghanistan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, akan bersidang secara tertutup dengan utusan khas ke Afghanistan dari pelbagai negara untuk mengusahakan langkah terbaik bagi menangani tindakan pentadbiran Taliban.
“Kami tidak akan menyokong penindasan Taliban terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan,” kata Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood, kepada UNSC.
Tambahnya, keputusan itu tidak boleh diterima dan mengakibatkan wanita Afghanistan tidak boleh muncul di tempat lain di dunia, malah tindakan itu menyebabkan lebih banyak kesan yang sukar dipulihkan ke atas Afghanistan.
Taliban berkata, mereka menghormati hak wanita mengikut tafsiran ketat undang-undang Islam.
Dalam pada itu, pegawai Taliban berkata, keputusan mengenai status pekerja wanita adalah ‘isu dalaman’.
Resolusi UNSC turut mengiktiraf keperluan untuk menangani cabaran besar dihadapi ekonomi Afghanistan termasuk melalui penggunaan aset milik Bank Pusat Afghanistan untuk manfaat rakyatnya.
Amerika Syarikat (AS) membekukan berbilion-bilion dolar rizab bank yang dipegangnya dan kemudian memindahkan separuh daripada wang itu ke dana amanah di Switzerland yang diselia pemegang amanah AS, Switzerland dan Afghanistan.
“Sehingga hari ini, apa yang dilihat hanyalah aset yang dipindahkan dari satu akaun ke akaun lain, tetapi tiada satu sen pun dikembalikan kepada rakyat Afghanistan,” kata Timbalan Duta Besar China ke PBB, Geng Shuang, kepada UNSC.
Pada masa sama, Duta Besar Russia ke PBB, Vassily Nebenzia, turut menggesa pemulangan aset itu kepada Bank Pusat Afghanistan.
Sumber: Berita Harian