Antarabangsa
Taliban bunuh dalang Daesh dalam serangan lapangan terbang Kabul
Kerajaan Taliban dilaporkan membunuh dalang serangan bom bunuh diri di lapangan terbang Kabul, Afghanistan semasa pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) yang huru-hara pada 2021, menurut media AS semalam.
- Kerajaan Taliban dilaporkan membunuh dalang serangan bom bunuh diri di lapangan terbang Kabul, Afghanistan semasa pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) yang huru-hara pada 2021.
- Pegawai kanan pentadbiran AS, memberitahu Politico bahawa dalang serangan itu dibunuh oleh pihak berkuasa Taliban beberapa minggu lalu.
- AS tidak terbabit dalam serbuan itu dan tidak menyatakan bila ia berlaku atau siapakah anggota Daesh didakwa terbunuh, untuk menjaga sensitiviti.
- Beliau mengesahkan dalang terbabit adalah anggota Daesh Khorasan iaitu cawangan kumpulan beroperasi di Afghanistan dan Pakistan, sebagai perancang utama.
- Letupan di Lapangan terbang Kabul mengorbankan kira-kira 170 warga Afghanistan dan 13 tentera AS yang mengawal lapangan terbang untuk laluan keluar dalam keadaan traumatik itu berlaku ketika mereka cuba meninggalkan Afghanistan pada 26 Ogos 2021.
WASHINGTON: Kerajaan Taliban dilaporkan membunuh dalang serangan bom bunuh diri di lapangan terbang Kabul, Afghanistan semasa pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) yang huru-hara pada 2021, menurut media AS semalam.
Pegawai kanan pentadbiran AS yang enggan dikenali, memberitahu Politico bahawa dalang serangan itu dibunuh oleh pihak berkuasa Taliban beberapa minggu lalu.
Katanya, AS tidak terbabit dalam serbuan itu dan tidak menyatakan bila ia berlaku atau siapakah anggota Daesh yang didakwa terbunuh, untuk menjaga sensitiviti.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan dalang terbabit adalah anggota Daesh Khorasan iaitu cawangan kumpulan beroperasi di Afghanistan dan Pakistan, sebagai perancang utama.
“Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, menangguhkan pengumuman itu sehingga perisikan AS dapat mengesahkan pembunuhan berkenaan dan keluarga 13 anggota tentera AS yang terkorban dimaklumkan terlebih dulu.
“Kami tidak bekerjasama dengan Taliban, tetapi kami fikir keputusan itu penting,” kata pegawai kanan itu kepada Politico.
Letupan di Lapangan terbang Kabul mengorbankan kira-kira 170 warga Afghanistan dan 13 tentera AS yang mengawal lapangan terbang untuk laluan keluar dalam keadaan traumatik itu berlaku ketika mereka cuba meninggalkan Afghanistan pada 26 Ogos 2021.
Namun, operasi tentera secara besar-besaran itu berjaya membawa keluar lebih 120,000 orang dari negara terbabit dalam tempoh beberapa hari.
Pengeboman paling berdarah di Afghanistan itu mencetuskan gelombang kritikan terhadap Biden atas keputusannya untuk menarik keluar tentera AS dari negara itu secara terburu-buru, selepas hampir 20 tahun mendudukinya.
Biden sebelum ini sudah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Afghanistan, yang disifatkan pengkritik sebagai membuka jalan kepada Taliban kembali berkuasa.
Laporan Washington Post memetik dokumen Pentagon yang bocor baru-baru ini berkata, AS percaya sejak penarikan itu, Afghanistan menjadi ‘pusat operasi baharu’ bagi kumpulan Daesh.
Taliban serta Daesh sekian lama terbabit dalam perjuangan di Afghanistan, dan pakar menyatakan kumpulan itu akan menjadi cabaran keselamatan terbesar bagi kerajaan Afghanistan yang baharu pada masa hadapan.
Sumber: Berita Harian