Antarabangsa
Asia Selatan catat bilangan perkahwinan kanak-kanak tertinggi di dunia – PBB
Asia Selatan adalah tempat utama kepada bilangan perkahwinan kanak-kanak tertinggi di dunia, menurut anggaran baharu dikeluarkan UNICEF pada Rabu.
- Asia Selatan adalah tempat utama kepada bilangan perkahwinan kanak-kanak tertinggi di dunia, menurut anggaran baharu dikeluarkan UNICEF pada hari Rabu.
- Ini kerana terdapat tekanan kewangan meningkat dan penutupan sekolah akibat COVID-19 yang memaksa ibu bapa mengahwinkan anak perempuan mereka pada usia muda.
- Terdapat 290 juta perkahwinan kanak-kanak wanita di rantau ini menyumbang 45 peratus daripada jumlah keseluruhan global, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
NEW DELHI: Asia Selatan adalah tempat utama kepada bilangan perkahwinan kanak-kanak tertinggi di dunia, menurut anggaran baharu dikeluarkan UNICEF pada Rabu.
Ini kerana terdapat tekanan kewangan yang meningkat dan penutupan sekolah akibat COVID-19 yang memaksa ibu bapa mengahwinkan anak perempuan mereka pada usia muda.
Terdapat 290 juta perkahwinan kanak-kanak wanita di rantau ini menyumbang 45 peratus daripada jumlah keseluruhan global, kata agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Memetik laporan Arab News, agensi PBB itu juga menggesa lebih banyak usaha untuk menamatkan amalan itu.
“Hakikat bahawa Asia Selatan mempunyai beban perkahwinan kanak-kanak tertinggi di dunia adalah sesuatu yang tragis.
“Perkahwinan kanak-kanak menghalang kanak-kanak perempuan daripada belajar, membahayakan kesihatan dan kesejahteraan mereka serta menjejaskan masa depan mereka. Setiap gadis yang berkahwin sebagai seorang kanak-kanak adalah terlalu ramai,” kata Pengarah Serantau UNICEF untuk Asia Selatan, Noala Skinner dalam satu kenyataan.
Kajian baharu agensi itu yang turut merangkumi temu bual dan perbincangan di 16 lokasi di Bangladesh, India dan Nepal mendapati ramai ibu bapa melihat perkahwinan sebagai pilihan terbaik untuk anak perempuan yang mempunyai pilihan terhad untuk belajar ketika sekatan COVID-19.
Dalam pada itu, umur sah perkahwinan bagi wanita ialah 20 tahun di Nepal, 18 tahun di India, Sri Lanka dan Bangladesh dan 16 tahun di Afghanistan.
Selain itu, ia juga 16 tahun di Pakistan kecuali wilayah Sindh di mana umur minimum perkahwinan ialah 18 tahun.
Kajian PBB juga mendapati keluarga didesak oleh tekanan kewangan semasa wabak untuk mengahwini anak perempuan mereka yang masih muda bagi mengurangkan kos di rumah.
Agensi itu berkata penyelesaian berpotensi yang dikenal pasti dalam perbincangan termasuk menggubal langkah perlindungan sosial untuk memerangi kemiskinan, melindungi hak setiap kanak-kanak untuk pendidikan, memastikan rangka kerja mencukupi untuk menguatkuasakan undang-undang dan membuat lebih banyak usaha untuk menangani norma sosial.
“Kita mesti melakukan lebih banyak lagi dan mengukuhkan perkongsian untuk memperkasakan kanak-kanak perempuan melalui pendidikan, termasuk pendidikan seksualiti yang komprehensif, dan melengkapkan mereka dengan kemahiran, sambil menyokong komuniti untuk bersama-sama menamatkan amalan yang berakar umbi ini,” kata Pengarah Serantau Asia-Pasifik bagi Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Björn Andersson.
Sumber: Arab News