Antarabangsa
Risiko virus dan penggodam, Google sekat 36 aplikasi android
Google dilaporkan menyekat 36 aplikasi popular dalam android kerana terdedah kepada virus dan penggodam.
- Google dilaporkan menyekat 36 aplikasi popular dalam android kerana terdedah kepada virus dan penggodam.
- Hal ini kerana pakar keselamatan menemukan ancaman baharu yang menyasarkan telefon android dan berjuta-juta pengguna juga disaran menyemak peranti mereka dengan segera bagi mengelak maklumat peribadi masing-masing digodam.
- Lapor Mirror UK, serangan terbaru yang dikesan oleh pasukan di McAfee Mobile Security itu dikatakan mampu mengancam aplikasi popular dengan perisian mula melaksanakan tugas tanpa kebenaran pemilik telefon pintar.
- Setelah aplikasi sudah diserang virus dipasang, ia boleh digunakan penjenayah melihat sejarah Wi-Fi, peranti Bluetooth yang disambungkan ke telefon, aplikasi lain yang sedang digunakan dan juga melihat lokasi peranti.
- “Pasukan penyelidik menemui lebih daripada 60 aplikasi yang mengandungi perpustakaan virus pihak ketiga ini dengan lebih daripada 100 juta muat turun,” jelas McAfee.
LONDON: Google dilaporkan menyekat 36 aplikasi popular dalam android kerana terdedah kepada virus dan penggodam.
Hal ini kerana pakar keselamatan menemukan ancaman baharu yang menyasarkan telefon android dan berjuta-juta pengguna juga disaran menyemak peranti mereka dengan segera bagi mengelak maklumat peribadi masing-masing digodam.
Lapor Mirror UK, serangan terbaru yang dikesan oleh pasukan di McAfee Mobile Security itu dikatakan mampu mengancam aplikasi popular dengan perisian mula melaksanakan tugas tanpa kebenaran pemilik telefon pintar.
Setelah aplikasi yang sudah diserang virus dipasang, ia boleh digunakan oleh penjenayah untuk melihat sejarah Wi-Fi, peranti Bluetooth yang disambungkan ke telefon, aplikasi lain yang sedang digunakan dan juga melihat lokasi peranti.
Lebih teruk lagi, wang juga boleh digodam tanpa disedari kerana pepijat itu boleh melakukan penipuan iklan selain memperlahankan peranti dan membuatkan telefon sarat dengan data.
Menurut McAfee, ancaman baharu itu menjadi isu besar kerana aplikasi yang dijangkiti mungkin sudah dimuat turun berjuta-juta kali.
“Pasukan penyelidik menemui lebih daripada 60 aplikasi yang mengandungi perpustakaan virus pihak ketiga ini dengan lebih daripada 100 juta muat turun,” jelas McAfee.
Pasukan Penyelidik syarikat perisian keselamatan komputer global segera memaklumkan syarikat teknologi Google tentang isu berkenaan dengan pembangun aplikasi diminta membetulkan segera masalah itu atau diharamkan terus daripada gedung Playstore.
“Google dilaporkan sudah memberitahu pembangun bahawa aplikasi mereka melanggar dasar Google Play dan pembetulan diperlukan untuk mencapai pematuhan. Lebih 36 aplikasi terpaksa dialih keluar daripada Google Play manakala yang lain dikemas kini oleh pembangun rasmi,” kata pegawai McAfees, Sang Ryol Ryu.
Isu itu dilaporkan menyasarkan pengguna di Korea Selatan dan setakat ini tiada laporan melibatkan rakyat UK tetapi semua pengguna Android dinasihatkan untuk berhati-hati sebelum memasang aplikasi baharu pada peranti mereka.
Sumber: Utusan Malaysia