Antarabangsa
Doktor muda di England mogok empat hari tuntut kenaikan gaji
Puluhan ribu doktor muda di England meninggalkan hospital dan klinik pada Selasa dalam satu mogok menuntut kenaikan gaji, demikian lapor DW News.
- Puluhan ribu doktor muda di England meninggalkan hospital dan klinik pada Selasa dalam satu mogok menuntut kenaikan gaji sebanyak 35 peratus untuk mengimbangi kenaikan gaji selama 15 tahun di bawah inflasi.
- Kira-kira 350,000 janji temu perubatan dijangka dibatalkan ketika mogok dijadualkan selama empat hari itu.
- Istilah doktor muda di negara itu agak mengelirukan kerana ia merangkumi hampir separuh daripada semua doktor di Britain, termasuk pakar perubatan dengan pengalaman sedekad.
Puluhan ribu doktor muda di England meninggalkan hospital dan klinik pada Selasa dalam satu mogok menuntut kenaikan gaji, demikian lapor DW News.
Tindakan itu dianggap sebagai mogok paling mengganggu dalam sejarah Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang dibiayai dana awam kerana ia berlaku di saat kira-kira 7 juta pesakit sedang memerlukan rawatan di hospital.
Kira-kira 350,000 janji temu perubatan dijangka dibatalkan ketika mogok empat hari itu dengan pihak hospital diminta untuk menjadualkan semula prosedur berkenaan.
Doktor kanan dan jururawat berpengalaman terpaksa mengambil alih bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dan penjagaan kritikal kekal utuh sepanjang tempoh mogok.
“Mogok kali ini akan menyaksikan tahap gangguan yang tidak dapat ditandingi dan kami sangat bimbang tentang potensi impak yang teruk ke atas pesakit dan perkhidmatan di seluruh negara,” kata Pengarah Perubatan NHS England, Stephen Powis.
Mogok kakitangan perubatan sangat jarang berlaku di Britain sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini, selalunya atas dasar kekurangan kakitangan.
Persatuan Perubatan Britain selaku kesatuan yang mewakili doktor berkenaan menuntut kenaikan gaji sebanyak 35 peratus untuk mengimbangi kenaikan gaji selama 15 tahun di bawah inflasi.
Kesatuan itu memberi jaminan yang mogok boleh dihentikan jika Menteri Kesihatan Britain, Steve Barclay membuat “tawaran yang boleh dipercayai” berkenaan gaji mereka.
Istilah doktor muda di negara itu agak mengelirukan kerana ia merangkumi hampir separuh daripada semua doktor di Britain, termasuk pakar perubatan dengan pengalaman sedekad.
Sumber: DW News