Antarabangsa
Lebih 30 orang maut pada acara penentang tentera Myanmar
Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di kawasan tengah Myanmar pada Selasa, selepas tentera melancarkan serangan ke atas acara yang diadakan oleh penentang pemerintahan tentera, lapor media.
- Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di kawasan tengah Myanmar selepas tentera melancarkan serangan ke atas acara yang diadakan oleh penentang pemerintahan tentera.
- Dilaporkan sehingga 50 orang, termasuk orang awam telah mati dalam serangan itu.
- Seorang anggota Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF), kumpulan bersenjata menentang junta, memberitahu jet pejuang melepaskan tembakan pada majlis diadakan untuk membuka pejabat tempatan mereka.
- Tentera Myanmar, yang menggulingkan kerajaan dipilih pada 2021, mendapat kecaman global atas serangan mautnya terhadap penentang prodemokrasi dan orang awam.
Yangon: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di kawasan tengah Myanmar pada Selasa, selepas tentera melancarkan serangan ke atas acara yang diadakan oleh penentang pemerintahan tentera, lapor media.
Memetik penduduk di kawasan Sagaing, BBC Burma, Radio Free Asia (RFA), dan portal berita Irrawaddy melaporkan sehingga 50 orang, termasuk orang awam, telah mati dalam serangan itu.
Reuters tidak dapat mengesahkan laporan dengan segera dan jurucakap tentera tidak menjawab panggilan telefon untuk mendapatkan komen.
Seorang anggota Angkatan Pertahanan Rakyat (PDF), kumpulan bersenjata yang menentang junta, memberitahu jet pejuang telah melepaskan tembakan pada majlis yang diadakan untuk membuka pejabat tempatan mereka.
“Setakat ini, jumlah sebenar mangsa masih belum diketahui. Kami tidak boleh mendapatkan mayat lagi,” kata ahli PDF itu yang enggan dikenali.
Tentera Myanmar, yang menggulingkan kerajaan yang dipilih pada 2021, telah mendapat kecaman global atas serangan mautnya terhadap penentang prodemokrasi dan orang awam.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya lapan orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan udara di sebuah kampung di barat laut Myanmar, menurut kumpulan hak asasi manusia, pemberontak etnik minoriti dan media.
Sekurang-kurangnya tujuh orang turut terbunuh pada Januari, apabila tentera mengebom sebuah kampung di wilayah yang sama, dan kanak-kanak terbunuh apabila sebuah helikopter tentera melepaskan tembakan ke arah sebuah sekolah di Sagaing pada September lalu.
Tentera telah menafikan dakwaan antarabangsa bahawa ia telah melakukan kekejaman terhadap orang awam dan mengatakan ia memerangi “pengganas” yang berazam untuk menggugat kestabilan negara.
Negara-negara Barat telah melancarkan sekatan terhadap junta dalam usaha untuk menyekat pendapatan dan akses kepada peralatan ketenteraan daripada sekutu dan pembekal utama seperti Rusia.
Sumber: Harian Metro