Terkini
Kadar upah guru mengajar al-Quran di kampung tidak berbaloi
Masyarakat di negara ini didakwa terlalu mengambil mudah akan kadar bayaran upah guru-guru al-Quran yang mengajar anak-anak kariah di kampung-kampung sehingga mereka menerima jumlah yang disifatkan tidak berbaloi dengan perkembangan ekonomi semasa.
- Masyarakat di negara ini didakwa terlalu mengambil mudah akan kadar bayaran upah guru-guru al-Quran yang mengajar anak-anak kariah di kampung-kampung sehingga mereka menerima jumlah yang disifatkan tidak berbaloi dengan perkembangan ekonomi semasa.
- Lebih membimbangkan, 80 peratus waris yang menghantar anak-anak mereka untuk belajar membaca kitab suci itu tidak membayar sebarang upah ‘ihsan’ tersebut, selain ada yang cuma memberi sekampit gula sahaja.
- Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, perkara itu menyaksikan nasib guru-guru al-Quran bagaimanapun terus tidak terbela selari dengan peredaran zaman pada masa ini, katanya kepada Utusan Malaysia.
- Menurut beliau, kebanyakan mereka yang dikesan mendapat kadar upah yang tidak berbaloi itu mengajar di kampung-kampung terutamanya di bahagian utara tanah air dengan rata-ratanya memiliki jumlah murid antara 25 sehingga 30 orang.
PETALING JAYA: Masyarakat di negara ini didakwa terlalu mengambil mudah akan kadar bayaran upah guru-guru al-Quran yang mengajar anak-anak kariah di kampung-kampung sehingga mereka menerima jumlah yang disifatkan tidak berbaloi dengan perkembangan ekonomi semasa.
Lebih membimbangkan, 80 peratus waris yang menghantar anak-anak mereka untuk belajar membaca kitab suci itu tidak membayar sebarang upah ‘ihsan’ tersebut, selain ada yang cuma memberi sekampit gula sahaja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, perkara itu menyaksikan nasib guru-guru al-Quran bagaimanapun terus tidak terbela selari dengan peredaran zaman pada masa ini.
Katanya, ini kerana rata-rata mereka tidak sampai hati untuk meletakkan sebarang kadar bayaran dalam menjalankan kewajipan fardu kifayah itu.
Menurut beliau, kebanyakan mereka yang dikesan mendapat kadar upah yang tidak berbaloi itu mengajar di kampung-kampung terutamanya di bahagian utara tanah air dengan rata-ratanya memiliki jumlah murid antara 25 sehingga 30 orang.
“Mereka yang mengajar al-Quran ini tidak boleh nak tolak sebab cintakan agama, jadi kerja baik itu tetap diteruskan.
“Kebanyakan (ajar al-Quran) secara sampingan. Misalnya ada seorang itu pagi jadi nelayan dan ajar mengaji pada sebelah petang. Jadi berapalah sangat (pendapatan) tangkap ikan itu.
“Sebab itu guru-guru al-Quran ini boleh dikatakan unsung hero sebab mereka ini buat kerja betul-betul fi sabilillah. Kalau tidak mengajar, budak-budak tidak dapat baca al-Quran,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Mashitah yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendedahkan, masih ada guru-guru al-Quran menerima kadar upah berjumlah RM10, tetapi masih terus mengajar walaupun hidup dalam kemiskinan.
Mengulas lanjut beliau berkata, kadar upah yang tidak setimpal selari dengan peredaran zaman sudah lama dikesan berlaku dalam kalangan mereka yang mengajar al-Quran itu.
“Sebab jika ada orang hantar anak mereka, mereka tidak pernah tanya berapa (perlu dibayar), jika ditanya pun guru al-Quran itu akan jawab terpulang. Tetapi, apabila guru al-Quran letak kadar bayaran, masyarakat pula bising.
“Maka benda itu diambil mudah, sedangkan ada yang sanggup bayar kelas tambahan, kelas piano, kelas karate.
“(Sebab) untuk (bayaran upah) kelas al-Quran, mentaliti masyarakat seperti sukar mahu rasakan perkara itu sangat bermakna, ada nilai,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap, pendedahan ini dapat membuka mentaliti lebih ramai pihak bahawa guru al-Quran itu menyumbang bukan sahaja kepada agama, tetapi tumbesaran anak-anak.
Sumber: Utusan Malaysia