Antarabangsa
London pertama kali dihiasi cahaya sempena Ramadan
Buat pertama kalinya, kota London dihiasi dengan lampu di jalanan daerah West End untuk menyambut Ramadan.

- Daerah West End London dihiasi dengan lampu di jalanan untuk menyambut bulan Ramadan.
- Ini merupakan kali pertama ibu kota Eropah membuat hiasan sedemikian untuk sambutan bulan suci Islam itu.
- Kempen ‘The Ramadan Lights’ menggunakan 30,000 lampu mampan yang dikendalikan Ramadan Lights UK, dibiayai Yayasan Aziz dan Algbra dan dirasmikan Datuk Bandar London, Sadiq Khan.
- “Adanya perkara sebegini di jalanan, ikonik, seperti ini di bandar lain, akan membantu masyarakat Islam berasa seperti mereka sebahagian daripada bandar berkenaan”. – Wakil Yayasan Aziz, Rahima Aziz.
Buat pertama kalinya, kota London dihiasi dengan lampu di jalanan daerah West End untuk menyambut Ramadan.
Memetik laporan Islam Channel, ini merupakan kali pertama ibu kota Eropah membuat hiasan sedemikian untuk sambutan bulan suci Islam itu.
Hiasan terdiri daripada 30,000 lampu mampan itu dirasmikan Datuk Bandar London, Sadiq Khan pada awal Ramadan baru-baru ini dan akan terus dinyalakan sepanjang bulan puasa.
Pemasangan ini dikendalikan organisasi tidak berasakan keuntungan, Ramadan Lights UK dan dibiayai Yayasan Aziz dan Algbra.
Kempen dinamakan ‘The Ramadan Lights’ ini merupakan idea Aisha Desai yang memulakan inisiatif itu tiga tahun lalu di utara London, di mana dia memasang lampu hiasan Ramadan yang dibiayai masyarakat setempat.
“Saya hanya mahu melakukannya dalam skala yang lebih besar dan mempunyai impian dan cita-cita untuk melakukannya di Regent Street, Oxford Street, Coventry Street, Piccadilly dan di seluruh London,” katanya.
“Ia sungguh luar biasa. Sambutannya sangat mengagumkan. Sokongannya juga hebat. Ia nyata”.
Menurut Rahima Aziz dari Yayasan Aziz, “Saya tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata. Ia sangat memberi inspirasi untuk dapat melihat ini.
“Saya harap orang ramai akan terinspirasi untuk melakukan perkara ini di tempat lain di Eropah dan juga di dunia.
“Adanya perkara sebegini di jalanan, ikonik, seperti ini di bandar lain, akan membantu masyarakat Islam berasa seperti mereka sebahagian daripada bandar berkenaan, itu sangat penting”.
Dalam pada itu, Zaynab Tariq selaku pengurus media sosial di Algbra pula berkata, “Kami tidak pernah melihat perkara seperti ini di Central London. Jadi apabila agama kami dipersembahkan di jalanan, di tengah-tengah London, adalah luar biasa”.
Umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Ramadan selama sebulan bermula 23 Mac dan dijangka berakhir pada 21 April.
Sumber: Islam Channel

You must be logged in to post a comment Login