Antarabangsa
Polis Greece tahan dua pemuda Pakistan rancang serang Yahudi
Polis Greece semalam menahan dua pemuda Pakistan yang berasal dari Iran kerana didakwa merancang serangan anti-Semitik di pusat bandar Athens.
- Polis Greece menahan dua pemuda Pakistan berasal dari Iran kerana didakwa merancang serangan anti-Semitik di pusat bandar Athens.
- Terdapat juga tuduhan Israel mendakwa Iran mendalangi perbuatan itu, yang menumpukan kepada kawasan kerap dikunjungi warga Israel.
- Menurut jurucakap polis Greece, Konstantina Dimoglidou, dalang di sebalik rancangan itu adalah seorang warga Pakistan yang tinggal di luar Eropah.
- Sumber memaklumkan pemuda berkenaan menyasarkan sebuah bangunan yang menempatkan rumah ibadat dan restoran Yahudi.
ATHENS: Polis Greece semalam menahan dua pemuda Pakistan yang berasal dari Iran kerana didakwa merancang serangan anti-Semitik di pusat bandar Athens.
Terdapat juga tuduhan Israel mendakwa Iran mendalangi perbuatan itu, yang menumpukan kepada kawasan kerap dikunjungi warga Israel.
Israel mendakwa rancangan itu adalah cubaan terbaru oleh musuh ketatnya iaitu Iran untuk mempromosikan keganasan menyasarkan Israel dan Yahudi di luar negara.
“Selepas siasatan terhadap beberapa suspek di Greece, Mossad membantu merungkai risikan rangkaian, kaedah operasi dan kaitan dengan Iran,” kata Pejabat Perdana Menteri Israel yang merujuk kepada agensi perisikan kebangsaan Israel.
“Sebagai sebahagian daripada penyiasatan, didapati bahawa infrastruktur di Greece adalah sebahagian rangkaian luas Iran yang dikendalikan dari Iran ke banyak negara,” tambah kenyataan itu.
Menurut jurucakap polis Greece, Konstantina Dimoglidou, dalang di sebalik rancangan itu adalah seorang warga Pakistan yang tinggal di luar Eropah.
Sumber polis yang enggan namanya didedahkan pula berkata, individu berkenaan tinggal di Iran, masing-masing berumur 27 dan 29 tahun.
Sumber memaklumkan pemuda berkenaan menyasarkan sebuah bangunan yang menempatkan rumah ibadat dan restoran Yahudi.
“Selepas tindakan yang diselaraskan oleh polis Greece dan Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan, rangkaian pengganas dibongkar dari luar negara, yang merancang serangan terhadap sasaran yang dipilih dengan teliti di wilayah Greece, kata satu kenyataan polis.
Polis berkata rangkaian itu sudah pun memilih sasaran serangan dan sedang merancang bagaimana untuk melaksanakan operasi berkenaan.
Difahamkan telefon dua lelaki yang ditahankan akan diperiksa untuk memperoleh rakaman perbualan, video dan lakaran tempat yang disasarkan.
Untuk rekod, terdapat sekitar 5,000 anggota masyarakat Yahudi di Greece.
Kerajaan Greece juga mempunyai hubungan baik dengan Israel termasuk berkait perjanjian keselamatan dan ketenteraan.
Sumber: Berita Harian