Terkini
Tun M perlu guna pengaruh bantu negara, bukan mainkan sentimen perkauman – Anthony Loke
Tun Dr Mahathir Mohamad disaran menggunakan pengaruhnya untuk membantu negara dan bukannya mengeluarkan sentimen perkauman ‘rekaan’ yang dikhuatiri boleh memecahbelahkan masyarakat.
- Tun Dr Mahathir Mohamad disaran gunakan pengaruhnya untuk bantu negara dan bukannya keluarkan sentimen perkauman ‘rekaan’ yang dikhuatiri boleh memecahbelahkan masyarakat.
- Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata dakwaan bekas Perdana Menteri itu yang menyatakan orang Melayu akan hilang kuasa di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan sebagai amat mendukacitakan.
- “Kita amat dukacita dengan status beliau sebagai mantan Perdana Menteri sebanyak dua kali termasuk pernah menjadi PM bersama PH pada 2018, apa yang dinyatakan dan dilakukannya sekarang ini amat menyedihkan semua.”
- “Ia juga tidak selari dengan kedudukan beliau sebagai negarawan yang sepatutnya menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya selepas Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA) di sini, semalam.
BUTTERWORTH: Tun Dr Mahathir Mohamad disaran menggunakan pengaruhnya untuk membantu negara dan bukannya mengeluarkan sentimen perkauman ‘rekaan’ yang dikhuatiri boleh memecahbelahkan masyarakat.
Susulan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata dakwaan bekas Perdana Menteri itu yang menyatakan orang Melayu akan hilang kuasa di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan sebagai amat mendukacitakan.
“Kita amat dukacita dengan status beliau sebagai mantan Perdana Menteri (PM) sebanyak dua kali termasuk pernah menjadi PM bersama Pakatan Harapan (PH) pada 2018, apa yang dinyatakan dan dilakukannya sekarang ini amat menyedihkan semua.
“Sepatutnya Dr Mahathir menggunakan pengaruh yang ada untuk membantu dan memajukan negara dengan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia, bukannya memainkan sentimen perkauman yang direka.
“Ia juga tidak selari dengan kedudukan beliau sebagai negarawan yang sepatutnya menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya selepas Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA) di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Pada sidang media 4 Mac lalu, Dr Mahathir yang dijemput sebagai ahli panel dalam sebuah program dialog di Putrajaya menyatakan kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali Pilihan Raya Umum (PRU).
Peringatan itu disuarakan beliau ekoran suasana politik ketika ini yang menurutnya, kekuatan dominan bangsa Melayu semakin teruk terhakis selepas PRU15.
Loke berkata, bekas pengerusi PEJUANG itu diharap dapat memainkan peranan yang lebih konstruktif berbanding mengeluarkan kenyataan yang dilihat bukan saja tidak membantu, malah mengapi-apikan sentimen perkauman.
Beliau berkata, tiada bukti menunjukkan orang Melayu hilang kuasa seperti dakwaan Dr Mahathir, malah ketika ini Perdana Menteri dan kebanyakan menteri termasuk Ketua Setiausaha Negara yang mentadbir negara adalah daripada kaum Melayu.
“Kenyataan kononnya orang Melayu hilang kuasa adalah satu permainan lama oleh Dr Mahathir untuk menakut-nakutkan orang Melayu, malah beliau juga berdepan dengan tuduhan sebegitu ketika menjadi PM.
“Sekarang ada Kerajaan Perpaduan, sepatutnya beliau memahami ini adalah permainan politik yang dilemparkan pihak lawan terhadap kerajaan, jadi saya dukacita apabila beliau sendiri turut memainkan sentimen perkauman itu sekarang,” katanya.
Sumber: Berita Harian