Connect with us

Terkini

APAD harap kerjasama syarikat swasta galak masyarakat guna pengangkutan awam

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berharap lebih banyak syarikat penyedia pengangkutan swasta bekerjasama membantu menangani sistem perbatuan pertama dan terakhir dalam usaha menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam dengan lebih optimum dan menyeluruh.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

APAD harap kerjasama syarikat swasta galak masyarakat guna pengangkutan awam
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) harap lebih banyak syarikat penyedia pengangkutan swasta bekerjasama bantu menangani sistem perbatuan pertama dan terakhir dalam usaha menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam dengan lebih optimum dan menyeluruh.
  • Ketua Pengarah APAD, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata sebagai usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara, pihaknya telah memperkenalkan perkhidmatan bus on demand (BOD) melalui proof of concept (POC) atau sesi percubaan, sejak tahun lepas.
  • “Perkhidmatan BOD adalah tempahan perkhidmatan bas melalui aplikasi yang dijalankan tanpa jadual dan laluan yang tetap serta beroperasi di dalam zon yang diluluskan APAD sahaja.” katanya ketika ditemui Bernama.

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berharap lebih banyak syarikat penyedia pengangkutan swasta bekerjasama membantu menangani sistem perbatuan pertama dan terakhir dalam usaha menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam dengan lebih optimum dan menyeluruh.

Ia selaras dengan pengoperasian penuh perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya, melibatkan laluan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya yang akan dibuka kepada pengguna bermula 3 petang esok, selepas dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pengarah APAD Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata sebagai usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara, pihaknya telah memperkenalkan perkhidmatan bus on demand (BOD) melalui proof of concept (POC) atau sesi percubaan, sejak tahun lepas.

Beliau berkata antara objektifnya adalah untuk mengkaji keberkesanan perkhidmatan, menilai impak kepada perkhidmatan sedia ada (seperti bas berhenti-henti dan teksi) serta mengumpul maklumat tahap penggunaan perkhidmatan BOD dalam kalangan orang awam.

“Perkhidmatan BOD adalah tempahan perkhidmatan bas melalui aplikasi yang dijalankan tanpa jadual dan laluan yang tetap serta beroperasi di dalam zon yang diluluskan APAD sahaja.

“Ia menggunakan kenderaan bersaiz kecil seperti bas mini, coaster atau van dan bertindak sebagai perantara antara rumah kediaman dengan stesen pengangkutan awam,” katanya ketika ditemui Bernama.

Azlan Shah berkata beberapa syarikat swasta menunjukkan minat untuk menjalankan perkhidmatan BOD, namun setakat ini hanya dua yang telah mendapat kelulusan APAD.

“Dua syarikat itu ialah Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd yang masih dalam perbincangan dengan Prasarana Malaysia Berhad untuk bekerjasama menyelesaikan permasalahan ini di Puchong dan Subang Jaya,” katanya.

Menurut Azlan Shah pihaknya bersedia untuk menambah perkhidmatan ini di stesen lain di semua rangkaian laluan sedia ada sekiranya ia berjaya.

Beliau berkata kerjasama itu penting bagi menyokong perkhidmatan lebih 1,000 bas henti-henti sedia ada di sekitar Lembah Klang serta perkhidmatan bas perantara ke stesen rel dan bas selain pilihan e-panggilan dan teksi.

“Bagi pembukaan MRT2, kira-kira 107 bas perantara lagi bakal disediakan yang diharap dapat melengkapi jaringan pengangkutan awam,” katanya.

Sebelum ini, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu telah dibuka untuk pengguna pada 16 Jun tahun lepas.

Secara keseluruhannya, MRT Laluan Putrajaya melibatkan laluan sepanjang 57.7km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, dengan 36 stesen terdiri daripada 27 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah serta 49 set tren dengan keseluruhan kos pembinaan RM30.53 bilion. – BERNAMA

Sumber: Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *