Terkini
Kerajaan sedia kertas Kabinet perkasa Akta Mahkamah Syariah – Menteri Agama
Kerajaan akan menyediakan kertas Jemaah Menteri bagi mendapatkan keputusan dasar dalam menambah baik Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355.
- Kerajaan akan sediakan kertas Jemaah Menteri bagi dapatkan keputusan dasar dalam tambah baik Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355.
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata penambahbaikan itu penting bagi memartabatkan perundangan syariah.
- “Bukan sahaja akta bidang kuasa mahkamah syariah, tetapi juga kita akan masukkan RUU (Rang Undang-undang) Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan secara bersekali.”
- “Ia untuk memperkasa bukan sahaja hukuman, malah kedudukan mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika menggulung RUU Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam menjawab celahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang mahu mengetahui mengenai status Akta 355.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan kertas Jemaah Menteri bagi mendapatkan keputusan dasar dalam menambah baik Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata penambahbaikan itu penting bagi memartabatkan perundangan syariah.
“Seperti mana yang saya pernah jawab soalan sama, insya Allah memandangkan berlaku pertukaran kerajaan, kita akan cuba untuk menyediakan kertas Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan dasar.
“Bukan sahaja akta bidang kuasa mahkamah syariah, tetapi juga kita akan masukkan RUU (Rang Undang-undang) Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan secara bersekali.
“Ia untuk memperkasa bukan sahaja hukuman, malah kedudukan mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika menggulung RUU Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab celahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang mahu mengetahui mengenai status Akta 355.
Mengulas lanjut, Mohd Nai’im berkata, kerajaan akan berusaha untuk memastikan pindaan terhadap Akta 355 dapat dibuat memandangkan sudah 30 tahun akta berkenaan tidak dipinda.
“Seperti mana yang saya sebut, kita akan bawa kertas terbabit kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan keputusan dasar,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nai’im ketika menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui pengurusan halal sudah mengadakan perbincangan bersama dua platform e-dagang terbesar di Malaysia iaitu Lazada dan Shopee berhubung mekanisme pengawalan jualan produk menggunakan logo halal dalam talian.
Beliau berkata, perbincangan ini diadakan pada 10 Jun tahun lalu.
“Insya Allah, proses perbincangan ini pihak JAKIM lakukan secara berterusan bagi memastikan tidak berlaku sebarang pelanggaran dalam konteks penggunaan logo halal,” katanya.
Mohd Nai’im berkata, JAKIM sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan jualan dalam talian bagi memberi penjelasan tentang peraturan dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
“Peruntukan akta ini adalah meliputi sebarang bentuk mekanisme pasaran produk termasuk jualan secara dalam talian,” katanya.
Sumber: Berita Harian