Terkini
Kerajaan serius tangani isu kanak-kanak tanpa kerakyatan – Azalina
Azalina berkata kegagalan menangani isu tiada kerakyatan itu bukan sahaja akan menjejaskan pembangunan negara.

- Kerajaan giat menyelesaikan masalah berkaitan kanak-kanak tanpa kerakyatan di negara ini. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said
- “Secara peribadi, saya paling bimbang mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan. Sebagai penggubal undang-undang yang berpengalaman, saya tidak dapat menerima hakikat bahawa terdapat kanak-kanak di Malaysia yang dianggap tidak bernegara.
- “Antaranya proses mendaftar sekolah, pergi ke hospital kerajaan, memohon kerja mahupun sekadar membuat laporan polis,” katanya dalam ucapan khas sempena Majlis Pelancaran Laporan Kajian Suhakam ‘Human Rights And Statelessness In Peninsular Malaysia’.
KUALA LUMPUR: Kerajaan giat menyelesaikan masalah berkaitan kanak-kanak tanpa kerakyatan di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata isu tanpa kerakyatan perlu ditangani kerana ia memberi kesan kepada negara.
“Secara peribadi, saya paling bimbang mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan. Sebagai penggubal undang-undang yang berpengalaman, saya tidak dapat menerima hakikat bahawa terdapat kanak-kanak di Malaysia yang dianggap tidak bernegara.
“Ada perkara yang diambil mudah oleh kita, namun ia adalah satu cabaran kepada mereka yang tidak mempunyai kerakyatan.
“Antaranya proses mendaftar sekolah, pergi ke hospital kerajaan, memohon kerja mahupun sekadar membuat laporan polis,” katanya dalam ucapan khas sempena Majlis Pelancaran Laporan Kajian Suhakam ‘Human Rights And Statelessness In Peninsular Malaysia’.
Azalina berucap menerusi video yang disiarkan ketika majlis berkenaan.
Azalina berkata kegagalan menangani isu tiada kerakyatan itu bukan sahaja akan menjejaskan pembangunan negara tetapi berkemungkinan memberi kemerosotan pada sektor ekonomi, meningkatkan kadar kemiskinan sekali gus menyebabkan individu yang berkebolehan tidak mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
“Dengan pertambahan penduduk dan kemajuan teknologi yang pesat kini, individu tanpa kerakyatan akan terus hidup terasing serta kehilangan peluang yang ada,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis pelancaran laporan khas berkenaan, Azalina memuji tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan menyifatkan data yang dikeluarkan itu tepat pada masanya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SUHAKAM kerana menjalankan kajian ini tepat pada masanya dan ia amat diperlukan.
“Pendekatan berasaskan bukti untuk menilai tahap individu tanpa kerakyatan di negara ini akan membantu penggubal dasar dan undang-undang menangani isu ini dengan lebih efektif,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh yakin kini negara sedang bergerak ke hadapan dalam menangani isu tanpa kerakyatan berkenaan.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) sedang mengusahakan pembaharuan institusi, termasuk pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menekankan mengenai pembaharuan pendidikan tinggi termasuk membuka peluang kepada individu tanpa kerakyatan dan pelarian untuk mendapatkan pendidikan.
“Beliau menegaskan hak untuk mendapat pendidikan berkualiti tidak seharusnya dinafikan hanya kerana status kewarganegaraan atau pelarian. Malah perbincangan lanjut dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dilakukan bagi mencari penyelesaian yang sesuai dalam menyelesaikan isu itu.
“Dengan perkembangan positif ini saya percaya negara kini sedang bergerak ke hadapan dalam menyelesaikan masalah individu tanpa kerakyatan.
“Bagaimanapun, kerajaan turut mengalu-alukan input daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam menangani semua isu yang berlaku di negara ini. Saya percaya setiap orang mempunyai peranan dan menyumbang kepada kemakmuran negara,” katanya.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login