Terkini
KWSP jadi sandaran pinjaman bukan jaminan masalah selesai – MTUC
Kaedah pinjaman dengan menjadikan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran kepada bank hanya bersifat sementara dan bukannya penyelesaian masalah pencarum secara keseluruhannya.
- Kaedah pinjaman dengan menjadikan wang KWSP sebagai cagaran kepada bank hanya bersifat sementara dan bukannya penyelesaian masalah pencarum secara keseluruhannya.
- “Cagaran KWSP itu bukan penyelesaian jangka panjang kerana akhirnya pencarum terpaksa berhutang dan terbeban dengan komitmen bayaran bulanan berserta faedah dikenakan. – Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani
- “Tetapi, terpulang kepada pencarum, mungkin kaedah ini boleh dijadikan pilihan terutama kepada mereka yang terdesak dengan memiliki jumlah simpanan banyak dan ada kemampuan membayar balik.
- “Bagi MTUC, perkara ini perlu diperhalusi lagi kerana kita mahu tahu apakah mekanisme yang dimaksudkan dengan cagaran itu kerana amalan sedia ada, mana-mana individu hendak memohon pinjaman kenderaan mahupun rumah pun, pihak bank akan meminta penyata KWSP sebagai syarat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Kuala Lumpur: Kaedah pinjaman dengan menjadikan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran kepada bank hanya bersifat sementara dan bukannya penyelesaian masalah pencarum secara keseluruhannya.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani menyifatkan langkah itu cenderung menambah beban hutang kepada pencarum kerana perlu membayar faedah pinjaman bank.
“Cagaran KWSP itu bukan penyelesaian jangka panjang kerana akhirnya pencarum terpaksa berhutang dan terbeban dengan komitmen bayaran bulanan berserta faedah dikenakan.
“Tetapi, terpulang kepada pencarum, mungkin kaedah ini boleh dijadikan pilihan terutama kepada mereka yang terdesak dengan memiliki jumlah simpanan banyak dan ada kemampuan membayar balik.
“Bagi MTUC, perkara ini perlu diperhalusi lagi kerana kita mahu tahu apakah mekanisme yang dimaksudkan dengan cagaran itu kerana amalan sedia ada, mana-mana individu hendak memohon pinjaman kenderaan mahupun rumah pun, pihak bank akan meminta penyata KWSP sebagai syarat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau berkata demikian mengulas langkah kerajaan bersetuju memperkenalkan kaedah secara kolateral iaitu menggunakan wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman.
Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, pihaknya berpendirian adalah lebih baik kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk pelaburan KWSP supaya keuntungannya dapat dipulangkan kepada pencarum terutama mereka yang terkesan.
“Daripada meminjam lebih baik kerajaan beri dana kepada KWSP untuk pelaburan supaya pulangannya dapat disalurkan semula kepada pencarum.
“Berapa jumlah pulangan diberikan kepada pencarum boleh diperhalusi lagi mengikut kategori kumpulan sama ada untuk mereka terkesan seperti B40 saja atau semua pencarum termasuk M40 dan T20,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya mencadangkan institusi kewangan menawarkan kadar faedah lebih rendah khusus bagi peminjam yang mahu mencagar wang KWSP mereka.
“Cadangan pinjaman dengan mencagarkan KWSP itu satu cadangan baik supaya mereka yang terdesak memerlukan kewangan dapat sumber yang boleh digunakan tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan hari tua mereka.
“Untuk peniaga yang mencarum KWSP sudah tentu kaedah ini lebih baik dan tidak menyusahkan pihak lain untuk meminjam contohnya untuk membuat pusingan modal berbanding dulu perlu ada seorang penjamin.
“Dengan adanya cagaran sebegini, pihak bank lebih berkeyakinan kerana kemampuan kita membayar lebih tinggi kerana ada perniagaan,” katanya.
Katanya, pinjaman dibuat seharusnya tidak melebihi jumlah baki simpanan KWSP bagi menjamin masa depan pencarum.
“Kalau terdesak sangat hendak meminjam menggunakan kaedah ini jangan melebihi daripada simpanan sedia ada.
“Perlu lihat berapa jumlah diperlukan untuk membiayai keperluan itu dan sudah pasti ada kemampuan membayar balik supaya peminjam tidak dibebani dengan masalah berganda apabila tidak dapat melunaskan pinjaman,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.
Katanya, kaedah itu adalah langkah terbaik bagi memastikan wang simpanan KWSP pencarum tidak dikeluarkan, namun pada masa sama mereka yang terdesak boleh mendapatkan sumber kewangan dengan meminjam bank untuk kelangsungan mereka.
Sumber: Harian Metro