Connect with us

Terkini

Keputusan UPKK 2022 merosot

Kaedah pembelajaran secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi salah satu sebab mengapa keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Tahun 2022 sedikit merosot.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

Keputusan UPKK 2022 merosot
Foto: Datuk Mohd Na'im Mokhtar (tengah).
  • Kaedah belajar online adalah punca keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Tahun 2022 sedikit merosot.
  • Selain itu, kehadiran calon UPKK yang tidak penuh juga menyumbang kepada penyusutan angka itu.
  • “Saya ingat kalau yang tahun lepas, ada dalam 90 peratus dan untuk tahun ini 88 peratus,” – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
  • JAKIM akan melakukan post-mortem untuk mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah itu.

PUTRAJAYA – Kaedah pembelajaran secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi salah satu sebab mengapa keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) Tahun 2022 sedikit merosot.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata dari sudut peratusan ia sedikit menurun.

“Saya ingat kalau yang tahun lepas, ada dalam 90 peratus dan untuk tahun ini 88 peratus,” katanya pada sesi soal jawab dalam Sidang Media Majlis Pengumuman UPKK Tahun 2022 di sini hari ini.

Foto: Menteri agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar merasmikan keputusan UPKK diiringi Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff.

Menurutnya, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melakukan post-mortem untuk mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah itu.

Katanya selain itu, punca lain kemerosotan prestasi UPKK adalah disebabkan oleh jumlah kehadiran yang tidak penuh murid-murid sewaktu peperiksaan tersebut dijalankan.

“Mungkin anak-anak ini dah seronok online, kena hadir (UPKK) mungkin ini satu cabaran. Jadi keputusan yang menurun satu dan jumlah calon yang tidak hadir,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata mereka yang tidak hadir ke peperiksaan UPKK 2022 tidak akan mendapat sijil.

Katanya, kesan itu akan menyukarkan calon UPKK 2022 daripada memohon kemasukan ke aliran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

Ini kerana peperiksaan tersebut merupakan salah satu prasyarat yang ditetapkan bagi membolehkan pelajar belajar di peringkat Tingkatan Satu di SMKA. 

Seramai 19,266 daripada 234,931 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2022 berjaya mencatat keputusan cemerlang A dalam kesemua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran terbabit ialah Bidang al-Quran; Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah); Sirah; Adab (Akhlak Islamiah); Jawi dan Khat; Lughatul Quran; Penghayatan Cara Hidup Islam; serta Amali Solat.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata 88 peratus calon mencatat lulus keseluruhan, manakala pencapaian Gred Purata Skor UPKK secara keseluruhan pula ialah 1.99 mata.– The Merdeka Times

Author