Terkini
Buku teks fizikal diganti digital
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menukar bahan sistem pendidikan termasuk buku teks secara fizikal kepada digital.
- KPM akan menukar bahan sistem pendidikan termasuk buku teks secara fizikal kepada digital dengan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan semua murid dan ketersediaan capaian internet.
- Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata KPM dalam perancangan untuk mengurangkan penggunaan buku teks dengan menambah pembelajaran dari segi digital.
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menukar bahan sistem pendidikan termasuk buku teks secara fizikal kepada digital.
Bagaimanapun, pelaksanaannya akan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan semua murid dan ketersediaan capaian internet.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata KPM dalam perancangan untuk mengurangkan penggunaan buku teks dengan menambah pembelajaran dari segi digital.
“KPM dalam usaha menukarkan bahan sistem pendidikan, termasuk buku teks secara fizikal kepada digital dengan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan semua murid dan ketersediaan capaian internet.
“KPM juga mengadakan sebahagian bahan pembelajaran dalam bentuk digital.
“Pada masa ini, KPM telah memuat naik sebanyak 754 buah buku teks digital dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa),” katanya menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Dungun itu mengajukan pertanyaan adakah kerajaan bercadang untuk menukarkan bahan sistem pendidikan secara fizikal kepada digital yang dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam kos buku teks dan lain-lain.
Hui Ying berkata KPM komited mencari jalan penyelesaian terbaik dalam usaha menangani isu beg berat murid dan pada masa sama menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Katanya, usaha itu masih diteruskan demi kesejahteraan murid untuk semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan khususnya yang beroperasi secara dua sesi.
Beliau berkata KPM telah melaksanakan penambahbaikan inisiatif bagi menangani isu beg berat secara holistik bermula pada tahun 2022 antaranya dengan menyediakan lokar sekolah rendah kepada semua murid Tahap 1 iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 di sekolah rendah beroperasi secara dua sesi; mengehadkan penggunaan bilangan buku latihan iaitu tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran; menggunakan buku aktiviti disediakan KPM, manakala buku kerja hanya digunakan sebagai bahan rujukan atau bahan ulang kaji di luar waktu PdP. – The Merdeka Times
Sumber : Youtube Parlimen Malaysia