Antarabangsa
Hanya kerana kanak-kanak sertai perarakan, Rumah keluarga Dalit dibakar
Insiden mengejutkan melibatkan diskriminasi kasta dilaporkan berlaku di Karnataka pada Ahad lalu di mana dua rumah milik keluarga Dalit dibakar penduduk kampung kerana menentang kanak-kanak dari kasta itu menari dalam perarakan pesta kampung.
- Insiden mengejutkan melibatkan diskriminasi kasta dilaporkan berlaku di Karnataka pada Ahad lalu di mana dua rumah milik keluarga Dalit dibakar penduduk kampung kerana menentang kanak-kanak dari kasta itu menari dalam perarakan pesta kampung.
- Ketika 12 ahli keluarga Dalit tidur di dua rumah secara bersebelahan, sekumpulan penduduk kampung membaling kayu dan menuang petrol lalu membakar rumah berkenaan.
- Ahli keluarga kasta Dalit itu dapat menyelamatkan diri dan jiran-jiran membantu memadamkan api sebelum merebak dan mendatangkan kerosakan.
- Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Insiden mengejutkan melibatkan diskriminasi kasta dilaporkan berlaku di Karnataka pada Ahad lalu di mana dua rumah milik keluarga Dalit dibakar penduduk kampung kerana menentang kanak-kanak dari kasta itu menari dalam perarakan pesta kampung.
Pesta itu diadakan di kampung Nandihalli di daerah Haveri yang mana beberapa kanak-kanak dan belia dari masyarakat Dalit turut menari dalam perarakan itu, lapor Sabrang India.
Pertengkaran berlaku apabila sebahagian penduduk kampung, yang menyumbang wang bagi majlis itu, menentang kehadiran individu Dalit yang didakwa tidak sepatutnya mengambil bahagian dalam keraian itu.
Pada malam kejadian, ketika 12 ahli keluarga Dalit sedang tidur di dua rumah secara bersebelahan, sekumpulan penduduk kampung membaling kayu dan menuang petrol lalu membakar rumah berkenaan dengan harapan api merebak ke rumah lain.
Namun ahli keluarga Dalit itu dapat menyelamatkan diri dengan keluar tepat pada masanya berikutan terganggu dek asap kebakaran dan jiran-jiran membantu memadamkan api sebelum ia merebak dan mendatangkan kerosakan.
The New Indian Express melaporkan pegawai kanan polis dari Havier datang ke Nandihalli untuk meneliti perkara itu dan dua individu menyerah diri serta siasatan akan diteruskan.
Pelaku lain dilaporkan masih melarikan diri, bagaimanapun polis menjangkakan lebih ramai penduduk kampung akan menyerah diri.
Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.
Dalit dilarang melakukan pekerjaan, kecuali pekerjaan yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak bermaruah’ bagi masyarakat kasta tinggi seperti kerja pembersihan, kutip sampah dan buruh binaan.
Sistem kasta di India dilaporkan dimansuhkan pada 1950-an tetapi sistem hieraki sosial berusia 2,000 tahun itu, yang menetapkan kedudukan individu berdasarkan keturunan kelahirannya, masih wujud dalam kehidupan harian masyarakat Hindu di India.
Sumber: Sabrang India