Connect with us

Terkini

Pemuda PAS cadang guru buat tugasan luar kelas diberi elaun khas

Pemuda PAS meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun khas kepada guru-guru terlibat atau Gred DG41 yang melaksanakan tugasan di luar bilik darjah sebagai satu insentif atas usaha dan pengorbanan mereka.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Pemuda PAS cadang guru buat tugasan luar kelas diberi elaun khas
Foto: Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid.
  • Pemuda PAS minta kerajaan mempertimbangkan beri elaun khas kepada guru-guru terlibat atau Gred DG41 yang melaksanakan tugasan di luar bilik darjah sebagai satu insentif atas usaha dan pengorbanan mereka.
  • Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, pemberian elaun itu bakal menjadi motivasi untuk guru-guru terus komited bekerja bagi memajukan sistem pendidikan negara dalam setiap perkara.
  • Peruntukan hanya diberikan bagi kos perjalanan sahaja sekiranya guru-guru diarahkan bertugas di luar sekolah.

KUALA LUMPUR – Pemuda PAS meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun khas kepada guru-guru terlibat atau Gred DG41 yang melaksanakan tugasan di luar bilik darjah sebagai satu insentif atas usaha dan pengorbanan mereka.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, pemberian elaun itu bakal menjadi motivasi untuk guru-guru terus komited bekerja bagi memajukan sistem pendidikan negara dalam setiap perkara.

Beliau berkata, laporan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pada tahun lalu mendapati lebih 10,000 guru-guru membuat pilihan untuk bersara awal dari perkhidmatan.

Katanya, antara punca pilihan itu dibuat adalah disebabkan bebanan tugas guru.

“Kalau guru besar ada elaun tambahan, guru penolong kanan pun ada. Adakah kerajaan akan memperkenalkan insentif ataupun bayaran khusus kepada guru-guru gred DG41 yang melaksanakan tugasan di luar kelas, contohnya hadir ke mesyuarat ataupun program-program di luar bilik darjah?

“Adakah kerajaan akan memperkenalkan bayaran elaun khusus untuk guru-guru biasa ataupun guru-guru DG41?” soal beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap, dalam sesi soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menjelaskan setakat ini tiada elaun khusus diperuntukkan kepada guru-guru yang melaksanakan tugasan di luar bilik darjah termasuk mereka yang hadir mesyuarat pengurusan sekolah pada hujung minggu.

Katanya, penjelasan itu adalah merujuk dari senarai elaun di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, peruntukan hanya diberikan bagi kos perjalanan sahaja sekiranya guru-guru itu diarahkan bertugas di luar sekolah.

“Ini adalah setakat sekarang tapi kita akan ambil maklum isu dibangkitkan oleh Yang Berhormat (Nurul Amin). Kita akan meneliti,” katanya.  – The Merdeka Times

Sumber : Facebook Pemuda PAS Malaysia

Author