Antarabangsa
Palestin, rejim Israel setuju kurangkan keganasan
Palestin dan Israel memeterai perjanjian untuk melaksanakan langkah-langkah mengurangkan keganasan yang semakin meningkat selepas satu rundingan di Jordan.
- Palestin dan Israel memeterai perjanjian untuk melaksanakan langkah-langkah mengurangkan keganasan yang semakin meningkat.
- Pegawai daripada kedua-dua pihak berkata mereka akan bekerjasama untuk membendung “keganasan akan datang” dan “kepentingan untuk melakukan de-eskalasi”.
- Israel dilaporkan komited untuk berhenti membincangkan penubuhan mana-mana unit penempatan baharu selama empat bulan dan berhenti meluluskan sebarang penempatan baharu selama enam bulan.
- Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, yang bertanggungjawab ke atas penempatan Israel di Tebing Barat, berkata beliau tidak akan mematuhi sebarang perjanjian mengenai pembekuan pembinaan penempatan.
Palestin dan Israel memeterai perjanjian untuk melaksanakan langkah-langkah mengurangkan keganasan yang semakin meningkat selepas satu rundingan di Jordan.
Dalam kenyataan bersama di hujung perjumpaan pada Ahad, pegawai daripada kedua-dua pihak berkata mereka akan bekerjasama membendung “keganasan akan datang” dan “kepentingan untuk melakukan de-eskalasi”.
Israel komited berhenti “membincangkan penubuhan mana-mana unit penempatan baharu selama empat bulan dan berhenti meluluskan sebarang penempatan baharu selama enam bulan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama dikeluarkan itu turut dipersetujui pegawai-pegawai daripada Amerika Syarikat, Mesir dan Jordan selepas peningkatan keganasan menjelang bulan Ramadhan yang bermula pada akhir Mac.
Pegawai Palestin dan Israel menekankan “kesediaan dan komitmen untuk bekerjasama segera bagi menghentikan langkah satu pihak” selama tiga hingga enam bulan, menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Jordan bersama Mesir dan AS menganggap persefahaman itu sebagai kemajuan bersama ke arah mewujudkan semula dan memperdalamkan hubungan di antara kedua-dua pihak.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk melakukan satu lagi perjumpaan pada bulan hadapan di Sharm el-Sheikh di Mesir.
Hamas, yang berkuasa di Semenanjung Gaza, mengecam pegawai Palestin di Tebing Barat kerana terlibat sama. Seorang pegawai daripada kumpulan itu berkata perjumpaan itu adalah “tidak bernilai” dan tidak akan mengubah apa-apa.
“Keputusan untuk terlibat dalam pertemuan ini walaupun kesakitan yang ditanggung warga Palestin adalah berpunca daripada keinginan untuk menamatkan pertumpahan darah,” kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melalui ciapan Twitter.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, yang bertanggungjawab ke atas penempatan Israel di Tebing Barat, berkata beliau tidak akan mematuhi sebarang perjanjian mengenai pembekuan pembinaan penempatan.
Sumber: Al Jazeera