Connect with us

Terkini

Penukaran agama anak sepihak, undang-undang tidak lindungi kebebasan agama perlu dicabar – Presiden Malaysia Hindu Sangam

Undang-undang membenarkan kanak-kanak menukar agama secara satu pihak perlu dicabar jika ia bersifat tidak adil dalam melindungi kebebasan beragama.

Published

on

Penukaran agama anak sepihak, undang-undang tidak lindungi kebebasan agama perlu dicabar - Presiden Malaysia Hindu Sangam
Foto: Timbalan Presiden Buddhist Maha Vihara, A. Hemadasa (kiri), Presiden Malaysia Hindu Sangam, Thanga Ganesan (kanan).
  • Undang-undang membenarkan kanak-kanak menukar agama secara satu pihak perlu dicabar jika ia bersifat tidak adil dalam melindungi kebebasan beragama.
  • Presiden Malaysia Hindu Sangam, Thanga Ganesan menyifatkan perkara itu tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, maka dia bersetuju dengan kesediaan Pengerusi Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy untuk memfailkan kes di Mahkamah Tinggi terhadap sembilan negeri yang membenarkan perkara itu.
  • Persetujuan kedua-dua ibu bapa dalam menukar agama anak adalah penting untuk mengelakkan keputusan yang berat sebelah – Timbalan Presiden Buddhist Maha Vihara, A. Hemadasa.

KUALA LUMPUR – Undang-undang membenarkan kanak-kanak menukar agama secara satu pihak perlu dicabar jika ia bersifat tidak adil dalam melindungi kebebasan beragama.

Pandangan Presiden Malaysia Hindu Sangam, Thanga Ganesan ini senada dengan tindakan Pengerusi Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy yang menyatakan kesediaannya memfailkan kes di Mahkamah Tinggi terhadap sembilan negeri yang membenarkan perkara itu. 

“Percubaan yang dilakukan (Arun Dorasamy) untuk mencabar undang-undang begini harus mendapat sokongan dari semua pihak yang menghormati Perlembagaan Persekutuan,” kata Ganesan ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Mengulas mengenai kanak-kanak yang perlu memilih sama ada mengikuti agama ibu atau ayahnya yang bercerai, Ganesan berpendapat mereka perlu kekal dengan agama kelahirannya selagi belum mencapai usia yang matang untuk membuat keputusan sendiri.

“Kalau tak bersetuju pun, anak itu dah dilahirkan sebagai (contohnya) Hindu. Bagi lah dia matang dulu sebelum dia nak menukar agama dia.

“Agama Hindu tidak memberi hak kepada sesiapa pun untuk menentukan agama orang lain. Perbuatan menukar agama seseorang adalah amat memudaratkan kedua-dua pihak (ibu bapa yang bercerai),” tambahnya.

Pendapat sama turut dikongsikan Timbalan Presiden Buddhist Maha Vihara, A. Hemadasa yang merasakan agama asal kanak-kanak perlu dikekalkan walaupun ibu bapanya bercerai.

Hemadasa menjelaskan, ibu bapa yang bercerai ini perlu kekal dengan keputusan pegangan agama anak yang telah dipersetujui sendiri oleh kedua-dua pihak di saat mereka masih bersama.

“Katakanlah seorang anak sudah dibesarkan sebagai Hindu selama 10 tahun. Kemudian apabila (ibu bapa) bercerai, satu masuk agama lain dan paksa anak untuk ikut satu agama yang berlainan daripada apa yang dia percaya selama 10 tahun. Budak itu pun confuse nanti.

“Budak itu akan ikut sahaja, dia tak tahu apa-apa sebab dia pun tak belajar pasal agama itu. Dia tak buat pilihan, dia dipaksa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Oleh itu, dia berpendapat ibu bapa yang bercerai perlu sama-sama sepakat jika mahu menukar agama anak bagi mengelakkan keputusan yang berat sebelah, seterusnya menjadikan anak sebagai mangsa keadaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong, mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Ketiga-tiga anaknya telah didaftarkan sebagai muslim oleh bekas suami Siew Hong yang memeluk Islam, M. Nagahswaran tanpa persetujuannya pada 7 Julai 2020. 

Satu lagi kes yang sama berlaku di mana tiga orang anak kepada seorang guru tadika beragama Hindu, M Indira Gandhi pada tahun 2009 di Perak.

Suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah, seorang mualaf telah menukar agama ketiga-tiga anaknya yang ketika itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.  – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author