Antarabangsa
11 warga Palestin maut dalam serangan rejim Israel di Nablus
Rejim Israel membunuh sekurang-kurangnya 11 warga Palestin dan berpuluh-puluh lagi tercedera dalam satu serangan di Nablus, Tebing Barat, kata pegawai kesihatan Palestin.
- 11 warga Palestin dan berpuluh-puluh lagi tercedera dalam satu serangan di Nablus, Tebing Barat.
- Letupan dan tembakan dapat didengari ketika tentera memasuki bandar itu pagi Rabu, mencetuskan pertempuran bersenjata.
- Beberapa orang awam di sekitar kawasan itu terbunuh, termasuk dua warga emas dan seorang remaja 16 tahun yang ditembak mati.
- Angka kematian itu adalah lebih tinggi daripada serangan rejim Israel pada bulan lalu, yang dikatakan paling teruk sejak 2005.
NABLUS – Rejim Israel membunuh sekurang-kurangnya 11 warga Palestin dan berpuluh-puluh lagi tercedera dalam satu serangan di Nablus, Tebing Barat, kata pegawai kesihatan Palestin.
BBC melaporkan letupan dan tembakan dapat didengari ketika tentera memasuki bandar itu pagi Rabu, mencetuskan pertempuran bersenjata dengan warga Palestin.
Tentera Israel mengatakan mereka membunuh tiga militan dikehendaki yang enggan menyerahkan diri di sebuah rumah.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan beberapa orang awam terbunuh, termasuk dua warga emas dan seorang remaja 16 tahun yang ditembak mati.
Enam ahli Lions’ Den dan kumpulan militan lain turut terbunuh dalam serangan itu, kata Lions’ Den dalam satu hantaran Telegram.
Angka kematian itu jauh lebih tinggi daripada serangan Israel bulan lalu, yang dikatakan paling teruk di Tebing Barat sejak 2005.
Jumlah mangsa tercedera membuatkan serangan ini lebih teruk dengan 80 orang mengalami luka akibat tembakan. Lima hospital di Nablus kini sedang memberi rawatan kepada mangsa.
Pegawai kanan Palestin, Hussein al-Sheikh menyifatkan serangan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai, manakala Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata, rejim Israel bertanggungjawab dalam peningkatan ancaman yang mendorong wilayah itu ke arah ketegangan.
Kumpulan Hamas yang mengawal Semenanjung Gaza memberi amaran pihaknya “memantau peningkatan jenayah yang dilakukan musuh terhadap rakyat kita di Tebing Barat”.
Serangan itu berlangsung selama empat jam dan pada waktu pagi, semasa kawasan bandar itu dipenuhi orang ramai yang sedang membeli belah.
Setakat tahun ini, lebih 60 warga Palestin, termasuk militan dan orang awam, terbunuh, manakala 11 lagi terbunuh dalam serangan yang menyasarkan Israel.
Sumber: BBC