Terkini
Rakyat mahu gaji naik, pengeluaran KWSP – Bekas EXCO Pemuda UMNO
Bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan konsep Menu Rahmah hanya pendekatan retorik untuk mengalih isu dan desakan rakyat yang mahu kenaikan gaji dan pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP).
- “Ini kerana impak hasil pelaksanaan program itu kepada peniaga dan rakyat tidak menyeluruh, biarpun konsep itu pernah dilaksana kerajaan sebelum ini ada kebaikannya.” – Bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
- “Sejak tahun 2000 hingga kini, setiap kali pilihan raya mahu diadakan, isu kenaikan gaji dijanjikan, tetapi selepas menang, jawapan yang akan dimaklumkan hanya membabitkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.”
- “Saya juga berharap kerajaan dapat membenarkan pengeluaran kali terakhir KWSP sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus daripada baki simpanan setiap penyimpan,” katanya.
PUTRAJAYA: Bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan konsep Menu Rahmah hanya pendekatan retorik untuk mengalih isu dan desakan rakyat yang mahu kenaikan gaji dan pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, ini kerana impak hasil pelaksanaan program itu kepada peniaga dan rakyat tidak menyeluruh, biarpun konsep itu pernah dilaksana kerajaan sebelum ini ada kebaikannya.
“Sebenarnya konsep ini sudah dilaksanakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ia diketepikan.
“Memang ada kebaikannya (Menu Rahmah), tetapi impaknya kepada peniaga dan juga rakyat tidak menyeluruh. Rakyat lebih mahu kenaikan gaji dan juga pengeluaran wang KWSP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Muqharabbin berkata, sejak tahun 2000 hingga kini, setiap kali pilihan raya mahu diadakan, isu membabitkan kenaikan gaji dijanjikan, tetapi selepas menang, jawapan yang akan dimaklumkan hanya membabitkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.
“Rakyat kini sudah mampu menilai janji manifesto yang langsung tidak berfungsi selepas menang PRU,” katanya.
Susulan itu, Muhamad Muqharabbin berkata, beliau berharap Kerajaan Perpaduan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun ini dapat membawa berita gembira berhubung kenaikan gaji di Malaysia.
“Saya juga berharap kerajaan dapat membenarkan pengeluaran kali terakhir KWSP sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus daripada baki simpanan setiap penyimpan.
“Kita tahu tahun ini, keadaan ekonomi negara agak meruncing dan membimbangkan. Jadi, bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan memulakan perniagaan,” katanya.
Sumber: Berita Harian